Jangan kelirukan rakyat! Negara masih kukuh hadapi krisis Asia Barat – Tengku Zafrul

Jangan kelirukan rakyat! Negara masih kukuh hadapi krisis Asia Barat – Tengku Zafrul

Orang ramai tidak seharusnya dikelirukan dengan dakwaan bahawa kerajaan tidak membuat persediaan sewajarnya berhubung cabaran krisis Asia Barat atau menjadikan isu tersebut sebagai bahan politik.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, kerajaan telah melaksanakan langkah fiskal yang kukuh dan proaktif bagi memastikan ekonomi negara kekal stabil sekiranya krisis di Asia Barat berterusan.

Negara masih kukuh hadapi krisis Asia Barat

Menurutnya, antara langkah yang diambil termasuk usaha penjimatan serta mengekalkan subsidi bahan api bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

“Saya menasihatkan pihak tertentu supaya tidak mengelirukan rakyat dan jangan mempolitikkan isu ini kerana berbanding negara lain, kedudukan kita lebih kukuh untuk menghadapi cabaran.
“Walaupun harga minyak dunia meningkat, harga RON95 khususnya bagi penerima subsidi bersasar BUDI MADANI kekal pada RM1.99 seliter.
“Langkah ini melibatkan subsidi kerajaan dan tanpa bantuan tersebut harga minyak akan meningkat. Ia menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat,” katanya, hari ini.

Tengku Zafrul yang juga bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, kerajaan telah mengadakan dua mesyuarat Jemaah Menteri setakat ini bagi membincangkan persiapan menghadapi kesan krisis di Asia Barat.

Artikel lain: Status Malaysia sebagai pengeluar minyak bantu kurangkan beban rakyat -Tengku Zafrul

Menurutnya, kedudukan ekonomi negara masih kukuh berikutan asas ekonomi yang diperkukuh dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.

“Setiap kementerian juga diminta membuat persediaan awal bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya krisis berlanjutan.
“Pengalaman ketika harga minyak dunia melonjak pada 2022 menunjukkan kerajaan mampu mengekalkan subsidi tanpa membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengekalkan subsidi bahan api walaupun harga minyak dunia meningkat mendadak.

Sumber: BERNAMA

Scroll to Top