Mula-mula isi masa lapang, kini Nur Kartinie jual 40 perisa kek lapis

Mula-mula isi masa lapang, kini Nur Kartinie jual 40 perisa kek lapis

am@hmetro.com.my

Georgetown: Terkenang kampung halaman mendorong wanita yang berasal dari Kuching, Sarawak menghasilkan kek lapis yang menjadi pencuci mulut masyarakat bumi kenyalang khususnya pada musim perayaan selepas berhijrah ke Pulau Pinang pada 2018.

Nur Kartinie Zaidil, 30 mengikuti suaminya ke negeri Pulau Mutiara yang bekerja sebagai anggota polis sebelum terjebak dalam perniagaan kecil-kecilan menghasilkan kek lapis.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, pada mulanya ia hanya sekadar hobi bagi mengisi masa lapang kerana teringat keluarga yang berada ribuan batu, namun siapa sangka ia berubah sebagai pendapatan sampingan.

“Bila hidup merantau memang mudah terkenang kampung halaman jadi untuk melupakan kesedihan itu saya sibukkan diri dengan membuat kek lapis yang menjadi menu tradisional negeri kelahiran saya.

“Lagipun saya bosan duduk di rumah jika tidak berbuat apa-apa yang masa saya kemudian diisi dengan membuat kek lapis hingga secara tidak sengaja ia menjadi perniagaan kecil-kecilan, sekali gus menambah pendapatan sampingan keluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Air Hitam, di sini.

Jelasnya, dia memasarkan kek lapis itu dengan menjualnya di pasar malam dan juga pejabat kerajaan di negeri ini yang tidak menyangka ia mendapat permintaan masyarakat di negeri utara.

“Lebih menggembirakan saya juga berjaya menyewa kedai melalui kemudahan ditawarkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada tahun ini bagi mengembangkan perniagaan,” katanya.

Mengulas mengenai permintaan kek lapis sempena perayaan Aidilfitri, Kartinie berkata, dia meletakkan sasaran untuk menghasilkan 500 loyang kek lapis yang kini separuh daripadanya sudah siap.

“Ada lebih 40 jenis perisa yang dihasilkan, namun perisa masam manis paling popular dalam kalangan pelanggan.

“Selain itu, saya turut melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) resipi termasuk memperkenalkan variasi baharu seperti masam manis keju, matcha serta gula apong yang diimport dari Sarawak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top