
Korea Utara melencarkan ujian pelancar roket berganda berkaliber 600 mm. FOTO KCNA melalui Reuters
Seoul – Korea Utara dilaporkan melancarkan kira-kira 10 peluru berpandu balistik ke arah Laut Jepun pada Sabtu, menurut Ketua Turus Gabungan Seoul (JCS).
Tindakan itu berlaku hanya beberapa hari selepas Pyongyang memberi amaran mengenai “akibat buruk” susulan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) yang sedang berlangsung.
Ketegangan antara kedua-dua Korea turut meningkat selepas Pyongyang menolak usaha diplomatik terbaharu Seoul, dengan menyifatkan inisiatif damai tersebut sebagai “sandiwara yang kekok dan menipu”.
Dalam kenyataan rasmi, JCS memaklumkan pihaknya mengesan kira-kira 10 peluru berpandu balistik dilancarkan dari kawasan Sunan di Korea Utara sekitar 1.20 tengah hari waktu tempatan (0420 GMT), menuju ke arah Laut Timur.
Menurut mereka, peluru berpandu itu dilaporkan terbang sejauh kira-kira 350 kilometer.
JCS turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa Korea Selatan bersama Amerika Syarikat sedang menjalankan analisis lanjut bagi mengenal pasti spesifikasi sebenar peluru berpandu tersebut.
Pada masa sama, tentera Korea Selatan menegaskan bahawa mereka bersedia untuk memberikan respons tegas terhadap sebarang provokasi.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Jepun turut mengesahkan pelancaran beberapa peluru berpandu balistik oleh Korea Utara.
Menurut kementerian itu, peluru berpandu tersebut mencapai ketinggian maksimum sekitar 80 kilometer sebelum jatuh di luar zon ekonomi eksklusif Jepun, berhampiran pantai timur Semenanjung Korea.
Rumah Biru, iaitu pejabat presiden Korea Selatan, mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai provokasi yang melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pihaknya juga mengarahkan agensi berkaitan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan, memandangkan pelancaran itu berlaku ketika latihan ketenteraan bersama AS dan Korea Selatan sedang dijalankan. – Agensi
Ringkasan AI
- Korea Utara melancarkan kira-kira 10 peluru berpandu balistik ke Laut Jepun
- Tindakan tersebut berlaku selepas Pyongyang memberi amaran tentang akibat buruk dari latihan ketenteraan Korea Selatan dan AS
- Peluru berpandu dilancarkan dari kawasan Sunan berjarak kira-kira 350 kilometer
- Korea Selatan dan Amerika Serikat sedang menganalisis spesifikasi peluru berpandu tersebut
- Rumah Biru mengecam pelancaran peluru berpandu sebagai pelanggaran resolusi PBB



