firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur “Sampai sekarang, tiada siapa tahu siapa sebenarnya yang melakukan pemalsuan sijil kelahiran untuk tujuh pemain ini. Sampai hari ini tidak boleh dikesan”.
Demikian kegusaran yang disuarakan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Jeffery Low Han Chau yang menuntut supaya pihak bertanggungjawab dalam memalsukan sijil kelahiran tujuh pemain ‘warisan negara’ dapat dikenal pasti sambil menegaskan isu ini sebagai jenayah serius yang perlu disiasat.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) berkata, selepas berbulan-bulan isu terbabit dibongkarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) namun sehingga kini pesalah sebenar masih belum diberkas.
“Sampai sekarang, tiada siapa tahu siapa sebenarnya yang melakukan pemalsuan sijil kelahiran untuk tujuh pemain ini. Sampai hari ini tidak boleh dikesan.
“Saya tidak pasti, mungkin Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah mengesan sesuatu tetapi mereka perlu mencari pihak yang melakukan perkara ini.
“Ini adalah satu isu yang serius dan kita tidak boleh katakan ini perkara yang kecil kerana sudah membabitkan isu antarabangsa. Negara yang terbabit boleh mengambil tindakan kerana pihak itu memalsukan dokumen kelahiran rakyat mereka.
“Jadi ini adalah satu jenayah yang sangat serius. Jadi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC perlu mencari pihak yang bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar bersama Exco PBMM dan media, semalam.
Terdahulu, Panel Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mendapati bahawa kesalahan memalsukan dokumen kelayakan memang terbukti dan larangan 12 bulan daripada bermain perlawanan adalah hukuman yang munasabah serta seimbang bagi tujuh pemain terbabit.
Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
CAS turut menegaskan ini memandangkan tanggungjawab mereka yang bersubahat dalam penipuan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




