Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berjaya mengangkat semula nama Malaysia di persada antarabangsa serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata sejak menerajui kepimpinan negara, Perdana Menteri telah memperkukuh hubungan dengan pemimpin dunia sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
“Sejak mengetuai kepimpinan negara, Perdana Menteri telah berjaya melonjakkan semula nama Malaysia di persada antarabangsa melalui hubungan baik yang sentiasa diperkukuh dengan para pemimpin dunia,” kata Hajiji pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama Perdana Menteri di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.

Hajiji menegaskan kerajaan negeri yang dipimpinnya akan terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Anwar.
Hajiji puji kepimpinan PM Anwar
Beliau berkata antara pencapaian utama Perdana Menteri termasuk kejayaan Malaysia mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada tahun lepas, yang menurutnya telah digalas dengan cemerlang.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah menekankan bahawa kepimpinan kerajaan MADANI turut berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Tahun lepas, Malaysia mencatat rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM426.7 bilion, meningkat 11 peratus berbanding 2022. Pelaburan ini melibatkan lebih 8,000 projek dengan potensi peluang pekerjaan sebanyak 244,902.

Pada masa sama, nilai ringgit semakin mengukuh, menandakan kepimpinan kerajaan MADANI berada pada landasan tepat untuk membawa Malaysia ke arah kemajuan dan kecemerlangan.
Artikel lain: Kerajaan komited lindungi kebajikan rakyat, harga diesel Sabah Sarawak kekal RM2.15 seliter – PM Anwar
Hajiji turut mengalu-alukan pendekatan strategik kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diawalkan menjelang Aidilfitri serta bantuan khas RM400 FlySiswa kepada pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang akan bercuti sempena hari raya, melibatkan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kerajaan negeri juga menyediakan bantuan tambahan kepada pelajar Sabah yang menuntut di institusi pengajian tinggi bagi memudahkan mereka pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.
Sumber: BERNAMA




