Anak muda kumpul RM250,000 infak melalui pakaian terpakai, sumbang kepada 150 masjid

Anak muda kumpul RM250,000 infak melalui pakaian terpakai, sumbang kepada 150 masjid

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Klang: Sekumpulan anak muda mengambil inisiatif menjalankan jelajah program pembelian dan infak pakaian terpakai di seluruh Semenanjung sehingga berjaya meraih kira-kira RM250,000 yang disumbangkan kepada 150 masjid.

Ahli Kelab Anak Muda Utara, Muhamad Faris Mohamad Tarmizi, 26, berkata, inisiatif itu tercetus hasil idea penaung kelab berkenaan yang fokus utamanya untuk memberi infak kepada masjid.

“Objektif program ini adalah untuk memberi infak kepada masjid menerusi hasil jualan dan pembelian pakaian terpakai. Setiap pakaian yang dibawa orang ramai, kami memberi bayaran RM1 bagi setiap 10 kilogram.

“Bagi individu yang tidak mahu menerima hasil jualan, wang berkenaan akan diberi sebagai infak kepada masjid.

“Menerusi program ini, ia bukan sahaja membolehkan kami memberi infak tetapi juga orang ramai untuk turut serta (beri infak),” katanya ketika ditemui di Masjid Kota Raja, di sini, hari ini.

Muhamad Faris berkata, program itu mula dilaksanakan sejak April 2025 di negeri-negeri sebelah utara sebelum ia diperluaskan ke negeri lain di seluruh Semenanjung pada penghujung tahun lalu.

“Sejak pelaksanaannya, kami mempromosikan program ini menerusi akaun media sosial ahli dan kelab. Setakat ini, program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan mendapat banyak penyertaan daripada orang ramai.

“Berdasarkan rekod, Masjid Besi di Alor Setar, Kedah merekodkan jumlah pakaian terpakai paling banyak dikumpul iaitu sebanyak tujuh tan.

“Ia sekali gus menyaksikan jumlah kutipan infak tertinggi di masjid berkenaan iaitu sebanyak RM5,500 berbanding purata RM1,000 yang diagihkan kepada setiap masjid terbabit dalam program itu,” katanya.

Menurutnya, program itu dijalankan oleh 30 ahli kelab itu yang berusia antara 19 hingga 27 tahun setiap minggu secara serentak di beberapa masjid terpilih pada setiap Sabtu hingga Isnin.

“Dalam program ini, kami hanya menerima pakaian sahaja kecuali pakaian dalaman yang masih elok.

“Setiap pakaian yang diterima akan dipilih semula sebelum diberi kepada golongan memerlukan termasuk asnaf, gelandangan serta bekas banduan,” katanya.

Katanya, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam pelaksanaan program berkenaan.

“Saya berharap orang ramai tidak buang pakaian terpakai mereka dan turut serta dalam program ini supaya ia (pakaian terpakai) dapat diuruskan dengan baik.

“Sebelum ini, saya pernah agihkan kira-kira 300 pakaian kepada gelandangan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur yang habis dalam masa 10 minit sahaja,” katanya.

Katanya, situasi itu memperlihatkan bahawa ada dalam beberapa golongan memerlukan pakaian terpakai berkenaan terutama menjelang musim perayaan termasuk Aidilfitri.

“Kami ada terima pakaian seperti baju Melayu, baju kurung, kasut, tudung dan sampin yang boleh diagihkan kepada mereka yang memerlukan pada Hari Raya Aidilfitri.

“Mungkin pada kita, pakaian itu sudah lama dan tiada nilai. Namun ada pihak di luar sana yang amat teruja dengan pemberian baju berkenaan.

“Dari situ, kita boleh menilai bahawa pakaian terpakai kita juga boleh memberi kebahagian kepada orang lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top