razis@mediaprima.com.my
Sepang: Kanak-kanak kelainan upaya tidak dipinggirkan apabila turut menerima sumbangan menerusi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Nestlé Malaysia melalui inisiatif Kotak Rezeki Dari Hati.
Terbaharu, sumbangan itu disampaikan kepada pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Rumah Payung, yang terdiri daripada kanak-kanak pelbagai kategori ketidakupayaan termasuk sindrom Down, Cerebral Palsy (CP), autisme serta beberapa masalah perkembangan lain yang memerlukan latihan pemulihan dan sokongan berterusan.
Bukan itu sahaja, sumbangan turut diberikan kepada guru-guru di PPDK berkenaan yang menjadi tulang belakang dalam membimbing serta menyokong perkembangan pelatih di pusat berkenaan.
Sumbangan 50 Kotak Rezeki Dari Hati itu disampaikan Pengarang Berita Kanan Harian Metro yang juga Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz kepada pelatih PPDK sebagai usaha menyantuni golongan yang memerlukan.
Pengerusi PPDK Rumah Payung, Tengku Azlan Shah Tengku Jamaluddin berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan yang disalurkan kerana dapat memberi kegembiraan kepada pelatih di pusat berkenaan.
“Bantuan itu bukan sahaja membantu pelatih, malah turut memberi sokongan kepada keluarga mereka yang datang daripada pelbagai latar belakang.
“Sebahagian pelatih di sini berasal daripada keluarga B40 dan bantuan seperti ini amat bermakna terutama dalam menyambut Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata, sokongan daripada syarikat korporat dan organisasi media seperti Harian Metro dan Nestlé amat penting dalam memastikan kebajikan golongan kelainan upaya terus diberi perhatian.
“Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang melalui lebih banyak program kebajikan.
“Terima kasih kepada Harian Metro dan Nestlé atas keprihatinan menyumbangkan kotak rezeki ini kepada pelatih di sini dan kami berharap lebih banyak inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Noor Azam berkata, sumbangan Kotak Rezeki Di Hati kepada pelatih dan guru PPDK Rumah Payung bukti keprihatinan Harian Metro bersama Nestlé Malaysia untuk terus membantu golongan yang memerlukan.
“Inisiatif itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial Harian Metro dan Nestlé Malaysia dalam menyantuni semua lapisan masyarakat.
“Harapan kami sumbangan ini bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga yang terdiri daripada pelbagai belakang malah memberi keceriaan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, Harian Metro yang kini dibaca lebih 5 juta rakyat Malaysia akan terus komited melaksanakan inisiatif kebajikan seperti ini bagi mendekatkan organisasi media berkenaan dengan masyarakat serta membantu mereka yang memerlukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




