'5 tahun tak balik raya kerana isu rumah pusaka'

'5 tahun tak balik raya kerana isu rumah pusaka'

Soalan:Sejak ibu saya meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu, saya tidak lagi pulang berhari raya di kampung dan sudah lama tidak berjumpa dengan abang serta kakak saya. Kami hanya tiga beradik, namun hubungan kami renggang akibat pertikaian sebuah rumah pusaka di atas tanah sawah peninggalan arwah emak. Arwah tidak meninggalkan sebarang wasiat. Kakak saya tidak bersetuju jika harta pusaka dibahagikan secara faraid dan mahu ia dibahagikan sama rata. Kakak juga enggan serahkan barang kemas arwah emak kerana sepanjang emak sakit, dialah yang menjaga dan uruskan kebajikan emak memandangkan saya dan abang tinggal jauh dari kampung. Sebagai adik bongsu, saya berharap isu pusaka ini dapat diselesaikan dan hubungan kami adik-beradik dapat dipulihkan semula. Apakah yang patut saya lakukan?Jawapan:Rumah pusaka, tanah sawah, atau harta lain boleh menjadi punca ketegangan antara waris apabila satu pihak menuntut pembahagian sama rata, sementara pihak lain berpegang pada hukum faraid atau berasa lebih berhak kerana menjaga ibu bapa ketika sakit. Dari sudut hukum Islam, sekiranya seseorang Muslim meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat, harta pusaka hendaklah dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid. Sistem faraid ditetapkan bagi memastikan setiap waris menerima bahagian sewajarnya berdasarkan hubungan mereka dengan si mati.Dalam pembahagian faraid, bahagian anak lelaki adalah dua kali ganda berbanding anak perempuan, mengambil kira tanggungjawab kewangan yang dipikul oleh lelaki dalam keluarga menurut hukum syarak. Namun, selepas bahagian faraid ditentukan, waris masih boleh berbincang untuk mencapai persetujuan bersama. Sekiranya semua waris bersetuju, harta boleh dibahagikan secara sama rata atau mengikut kaedah lain yang dipersetujui bersama. Pendekatan muafakat ini sering menjadi jalan terbaik bagi mengelakkan konflik berpanjangan dalam keluarga.Selain itu, pengorbanan seseorang anak yang menjaga ibu bapa ketika sakit atau uzur sering menjadi pertikaian dalam kalangan waris-waris. Walaupun menjaga ibu bapa yang uzur memerlukan pengorbanan masa, tenaga, dan material, namun hakikat sebenar, ia tidak secara automatik memberi hak tambahan kepada waris yang mengurus ibu bapa yang uzur. Segala harta atau barang peninggalan yang masih bermanfaat mesti dibahagikan secara adil antara waris, kecuali jika ada persetujuan bersama untuk menghargai pengorbanan tersebut.Dalam banyak isu melibatkan pertelingkahan pengurusan harta pusaka, perkara ini boleh diselesaikan secara baik melalui perbincangan bersama. Waris lain kadangkala bersetuju memberikan sebahagian harta atau barang peninggalan sebagai tanda penghargaan kepada ahli keluarga yang telah menjaga ibu bapa ketika sakit.Selain memahami hukum faraid, masyarakat juga perlu mengetahui bahawa pengurusan harta pusaka di Malaysia perlu melalui proses perundangan tertentu sebelum harta tersebut boleh dibahagikan kepada waris. Proses pentadbiran pusaka bermula dengan mengenal pasti semua harta yang ditinggalkan oleh si mati serta waris yang berhak mewarisinya.Harta pusaka boleh melibatkan pelbagai bentuk aset seperti rumah, tanah, wang simpanan, saham, kenderaan dan barang kemas. Sebelum pembahagian dilakukan, beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu seperti kos pengurusan jenazah, bayaran hutang si mati serta pelaksanaan wasiat sekiranya ada. Bagi umat Islam, proses ini turut melibatkan permohonan perintah faraid di Mahkamah Syariah bagi menentukan waris yang berhak serta kadar bahagian masing-masing.Proses perundanganDi Malaysia, pengurusan harta pusaka dikendalikan oleh beberapa institusi bergantung kepada jenis serta nilai harta yang ditinggalkan. Sekiranya nilai keseluruhan harta pusaka tidak melebihi RM5 juta dan melibatkan sekurang-kurangnya satu harta tak alih seperti rumah atau tanah, kes tersebut dikategorikan sebagai pusaka kecil dan boleh diuruskan melalui Bahagian Pembahagian Pusaka di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan. Had nilai ini telah dinaikkan daripada RM2 juta bagi memudahkan lebih banyak kes pusaka diuruskan melalui prosedur yang lebih cepat dan kos lebih rendah.Bagi kes yang hanya melibatkan harta alih seperti wang simpanan atau saham, waris juga boleh mendapatkan bantuan pentadbiran melalui Amanah Raya Berhad. Kes pusaka yang melibatkan nilai harta lebih tinggi atau lebih kompleks perlu diuruskan melalui Mahkamah Tinggi Sivil yang akan mengeluarkan surat kuasa mentadbir atau probet.Walaupun proses perundangan ini kelihatan jelas, realitinya pengurusan harta pusaka sering mengambil masa yang agak panjang sekiranya tidak diuruskan dengan baik oleh waris. Bagi kes pusaka kecil yang lengkap dokumen dan tanpa pertikaian, proses biasanya mengambil masa beberapa bulan. Tetapi konflik antara waris atau dokumen tidak lengkap boleh melanjutkan tempoh penyelesaian bertahun-tahun.Statistik semasa menunjukkan bahawa isu harta pusaka yang tidak diuruskan masih menjadi cabaran besar di negara ini. Nilai keseluruhan harta pusaka yang masih belum dituntut di Malaysia dianggarkan mencecah RM90 bilion, dengan lebih 46,000 kes pusaka kecil belum selesai pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan banyak harta peninggalan yang sepatutnya memberi manfaat kepada waris akhirnya tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya akibat pertikaian atau pengurusan yang lemah.Nilai sebuah rumah pusaka mungkin hanya beberapa ratus ribu ringgit, tetapi nilai hubungan adik-beradik jauh lebih besar. Kadangkala satu langkah kecil seperti membuka ruang perbincangan atau berdamai mampu menjadi titik permulaan kepada perdamaian dalam keluarga.Harta pusaka boleh dibahagikan dengan pelbagai cara melalui persetujuan bersama, tetapi hubungan kekeluargaan yang terputus akibat konflik mungkin sukar dipulihkan jika dibiarkan terlalu lama. Merancang harta dengan bijaksana semasa hidup dan menguruskan pusaka selepas kematian bukan sahaja memudahkan urusan waris, malah memastikan keharmonian keluarga terus terpelihara.Nilai sebuah rumah pusaka mungkin hanya beberapa ratus ribu ringgit, tetapi nilai hubungan adik-beradik jauh lebih besar daripada itu.Sebagai pengamal dalam bidang perwarisan, situasi seperti ini bukan lagi sesuatu yang asing. Konflik keluarga sering berpunca daripada ketiadaan perancangan harta semasa hayat. Perancangan harta bukan sekadar soal pembahagian kekayaan, tetapi tanggungjawab untuk memastikan kebajikan waris terpelihara dan keharmonian keluarga terus terjaga.*Dr Anne Ismail ialah Pengasas Pennawaris Sdn Bhd 

Scroll to Top