BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memuat naik mesej video dari sebuah kafe di luar Baitulmuqaddis pada malam Ahad, menafikan khabar angin bahawa beliau telah terbunuh dalam serangan Iran.
Netanyahu turut mempersendakan dakwaan tersebut yang tersebar dengan pantas di media sosial selepas teori konspirasi mendakwa bahawa beliau telah meninggal dunia manakala penampilan televisyen terbaharunya didakwa dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Perdana menteri itu bertindak balas secara langsung terhadap khabar angin tersebut dengan memuat naik video baharu untuk mengesahkan bahawa beliau masih hidup dan terus menjalankan tugasnya.
Dalam mesej itu, Netanyahu turut menunjukkan kedua-dua tangannya selepas sebuah video yang tular sebelum ini didakwa memaparkan enam jarinya pada salah satu tangannya sehingga mencetuskan spekulasi bahawa video tersebut adalah palsu.
“Saya ‘mati’ untuk kopi,” katanya secara sinis di akaun rasmi X miliknya. Beliau berkata demikian ketika menerima secawan kopi panas di sebuah kafe di luar Baitulmaqdis menggunakan ungkapan bahasa Ibrani yang bermaksud sangat menyukai sesuatu.
“Saya mencintai negara saya sepenuh hati,” tambahnya, sambil memuji cara penduduk Israel bertindak sepanjang krisis yang sedang berlangsung
Netanyahu turut memberi respons terhadap satu lagi dakwaan tular yang mendakwa sidang media televisyen yang disampaikannya awal minggu itu sebenarnya dihasilkan menggunakan AI.
Sebuah video yang didakwa memaparkan enam jari pada salah satu tangannya turut menjadi tular sehingga mencetuskan spekulasi bahawa rakaman tersebut dijana oleh AI dan sebenarnya tidak memaparkan Netanyahu yang sebenar.
Sementara itu, agensi berita rasmi Iran, Islamic Republic News Agency (IRNA), menyatakan dalam satu hantaran di X bahawa pasukan ketenteraan berpengaruh negara tersebut berikrar untuk memburu Netanyahu. – AGENSI




