Wanita guna ayat cinta kikis wang 9 lelaki sampai licin

Wanita guna ayat cinta kikis wang 9 lelaki sampai licin

London: Seorang wanita di United Kingdom menipu sekurang-kurangnya sembilan lelaki menggunakan taktik cinta dan kisah hidup untuk meraih simpati, seterusnya mengikis duit mereka.

Seorang daripada mangsa dikikis sehingga simpanan terakhir 1.07 Pound Sterling (RM5.57). Jumlah kerugian semua mangsa lebih 8,000 Pound Sterling (RM41,701.80).

Kegiatan Leonnie Robson, 35, akhirnya terdedah dan wanita didakwa di Mahkamah Mahkota Norwich sebelum dijatuhi hukuman penjara dua tahun sembilan minggu.

Aktiviti penipuan Robson bermula dengan mengesan lelaki kesunyian di media sosial, malah merangka cerita penipuan dengan mendakwa diri menghidap kanser, kehilangan anak perempuan akibat bunuh diri dan melarikan diri daripada keganasan rumah tangga.

Difahamkan, dia menyasarkan sembilan lelaki di Facebook sepanjang 14 bulan, menerima sejumlah 8,176 Pound Sterling (kira-kira RM42,621.60) daripada mangsa-mangsanya.

Mahkamah dimaklumkan seorang mangsa menyerahkan 3,000 Pound Sterling (kira-kira RM15,640.20), manakala seorang lagi mengosongkan akaunnya hanya beberapa minit selepas mula bersembang dengan Robson.

Dalam pada itu, Robson mendakwa, wang berkenaan diperlukan untuk membeli makanan, membayar bil, malah mendakwa dirinya juga menjadi mangsa penipuan.

Selepas menjalin cinta dan mencapai objektifnya, Robson akan menyekat mangsa apabila mereka mula curiga.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Mac 2024 hingga Mei tahun lalu ketika masih dalam tempoh parol selepas menjalani hukuman penjara kedua kerana penipuan.

Mahkamah memaklumkan, wanita itu mempunyai 33 sabitan terdahulu untuk 87 kesalahan, termasuk 31 kes penipuan sebelum ini.

Robson ditangkap selepas penjaga seorang mangsa melaporkan bahawa mangsa menghantar wang kepada seseorang yang dikenali dalam talian dan siasatan polis menemui lapan mangsa penipuan lain.

Mangsa mengakui, sukar mempercayai orang dan takut untuk mendedahkan diri selepas menjadi mangsa penipuan percintaan.

Pegawai Polis di Norfolk, Sally Anderson menegaskan, penipuan percintaan bukan sahaja menimbulkan kerugian kewangan tetapi juga penderitaan emosi dan menggesa orang ramai membuat laporan polis jika disasarkan oleh penipu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top