
Klip tersebut dipercayai menggunakan teknologi Palantir AI bagi menghasilkan kesan deepfake pada rakaman lama. Foto Agensi
TEL AVIV – Video terbaharu memaparkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di sebuah kafe pada Ahad sekali lagi mencetuskan spekulasi meluas di platform media sosial.
Kebanyakan pengguna percaya klip itu dijana teknologi kecerdasan buatan (AI) yang canggih untuk memberi kesan nyata.
Suasana santai yang cuba menonjolkan keadaan normal itu sebaliknya membuatkan ‘penyiasat digital’ meneliti klip berkenaan dengan lebih dekat.
‘Siasatan’ itu bermula setelah Netanyahu berkongsi klip sarkastik kononnya untuk membuktikan dirinya masih hidup setelah khabar angin tentang kematiannya tersebar sejak minggu lalu.
Persoalan warganet terjawab setelah chatbot Grok di platform X melabelkan video tersebut sebagai 100 peratus kandungan janaan AI.
Ia juga menjelaskan bahawa klip tersebut dipercayai menggunakan teknologi Palantir AI bagi menghasilkan kesan deepfake pada rakaman lama ketika pemimpin ‘ekstremis’ itu berkunjung ke Kafe Sataf pada 2024.
Ruangan komen kemudiannya dibanjiri ‘hasil siasatan’ warganet.
“Poket ajaib dan kopi dalam cawan yang seolah-olah melawan graviti. Pelanggan bertopeng di belakang kaunter. Cubaan yang baik…NOTenyahu,” kata seorang pengguna yang turut berkongsi tangkapan layar klip itu dari jarak dekat.
Seorang lagi warganet turut mempersoalkan video AI itu yang didakwa mengubah bentuk wajah Netanyahu dalam beberapa saat.
“Pada awalnya wajahnya kelihatan bulat, namun berubah menjadi lebih bujur selepas dia menundukkan pandangan ke arah kopi tersebut,” katanya.
Sejak minggu lalu, pelbagai teori konspirasi timbul selepas sebuah video yang memaparkan Netanyahu mempunyai jari tambahan dengan ekspresi wajah yang kaku mula tular. – Agensi
Ringkasan AI
- Video terbaharu Benjamin Netanyahu di sebuah kafe mencetuskan spekulasi di media sosial
- Kebanyakan pengguna percaya klip itu merupakan hasil janaan kecerdasan buatan yang canggih
- ‘Penyiasat digital’ meneliti klip tersebut lebih dekat setelah Netanyahu berkongsi untuk membuktikan dirinya masih hidup
- Chatbot Grok di platform X mengesahkan video itu sebagai kandungan janaan AI
- Warganet mempersoalkan keaslian video dengan menunjukkan bukti seperti ‘poket ajaib’ dan perubahan bentuk wajah Netanyahu



