audreymd@nst.com.my
Permatang Pauh : Aktivis Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai CheguBard akan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid selepas sambutan Aidilfitri, kerana didakwa memfitnahnya dengan menuduhnya membuat kenyataan palsu berkaitan isu dana zakat.
Perkara itu susulan tindakan Mohamad yang memulakan prosiding undang-undang terhadap empat individu termasuk Badrul Hisham berhubung dakwaan kenyataan berunsur fitnah membabitkan pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat MAINPP.
Tiga lagi individu yang dinamakan ialah Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Muhammad Jan; Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hafiz Alias dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Yusni Mat Piah.
Badrul Hisham berkata, beliau belum menerima LOD daripada Mohamad walaupun terdapat dakwaan notis undang-undang itu sudah dikeluarkan.
“Saya berbincang dengan peguam dan kami sedang mempertimbangkan secara serius untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap beliau (Mohamad) selepas Aidilfitri.
“Saya sendiri akan menghantar LOD kepadanya kerana dia menuduh saya melakukan fitnah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Badrul Hisham berkata, dakwaan dibangkitkannya adalah berdasarkan dokumen dan rekod, termasuk isu berkaitan penggunaan dana zakat serta tadbir urus institusi Islam di Pulau Pinang.
Beliau turut mencabar Mohamad menjelaskan beberapa perkara dibangkitkan pihak pembangkang, termasuk dakwaan berkaitan peruntukan zakat dan keputusan pentadbiran dalam institusi Islam negeri itu.
Tiga individu lain yang dinamakan dalam notis undang-undang Mohamad mengesahkan mereka menerima LOD berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni berkata, beliau baru saja menerima notis itu melalui pusat khidmatnya.
Katanya, perkara itu berpunca daripada soalan dibangkitkan pada DUN Pulau Pinang November lalu berkaitan isu Majlis Agama Islam negeri dan pengurusan zakat.
“Saya membangkitkan beberapa soalan pada sidang DUN dan meminta penjelasan daripada Mohamad yang juga ketua badan zakat negeri serta Yang Dipertua Majlis Agama Islam negeri.
“Ia membabitkan kepentingan awam dan pengurusan dana zakat milik masyarakat Islam,” katanya sambil menambah beliau bersedia mempertahankan kenyataannya di mahkamah jika perlu.
Mohd Fawwaz turut mengesahkan menerima LOD pada Jumaat lalu yang menuntut permohonan maaf serta penarikan balik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.
Bagaimanapun, beliau mendakwa surat itu tidak menyatakan dengan jelas kenyataan mana yang dianggap memfitnah.
“Saya membangkitkan dua isu utama iaitu penyelesaian hutang perumahan seorang individu menggunakan dana zakat serta pembelian tanah menggunakan wang zakat. Soalan ini masih belum dijawab,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Hafiz berkata, beliau juga menerima LOD pada Jumaat, namun menyifatkan kandungannya sebagai tidak jelas.
Katanya, dokumen itu mengandungi transkrip kenyataannya di TikTok tetapi tidak menyatakan secara spesifik kenyataan mana yang didakwa memfitnah.
“Saya akan memberikan maklum balas terhadap LOD itu pada masa yang sesuai,” katanya.
Keempat-empat mereka menyatakan kesediaan berdepan tindakan undang-undang dan menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat adalah demi kepentingan akauntabiliti awam berhubung pengurusan dana zakat di Pulau Pinang.
Badrul Hisham turut mendedahkan beliau akan membuat pendedahan lanjut berkaitan isu zakat selepas Aidilfitri, termasuk dakwaan pinjaman berjumlah RM10 juta yang kemudiannya dihapus kira.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan perkara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




