Zamri Vinoth, Arun Dorasamy antara empat individu bakal dituduh esok – KPN

Zamri Vinoth, Arun Dorasamy antara empat individu bakal dituduh esok – KPN

harisfadli@hmetro.com.my

Putrajaya: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menuduh empat individu yang didakwa terbabit dalam kejadian mencetuskan provokasi dan memainkan sentimen perkauman serta agama sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya sudah menerima arahan pertuduhan daripada Pejabat Peguam Negara membabitkan Zamri Vinoth, Tamim Dahri, Mahendra Boopathy dan Arumugam Dorasamy atau lebih dikenali Arun Dorasamy.

“Siasatan terhadap Zamri Vinoth berhubung kenyataan penganjuran perhimpunan di perkarangan sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur pada 7 Februari.

“Arahan tuduh adalah di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, Tamim Dahri yang juga seorang aktivis akan dituduh mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam yang merupakan simbol suci bagi penganut Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah.

Mengulas lanjut beliau berkata Tamim dikesan di Thailand sebelum ini namun tidak dapat dipastikan keberadaan individu itu ketika ini.

“Kita ada maklumat risikan bahawa dia telah keluar ke negara jiran iaitu Thailand. Dari situ kita masih belum pasti beliau berada di mana dan maklumat lanjut sedang diperoleh,” ujarnya.

Menurutnya, P Mahendra Bhoopathy akan dituduh atas kesalahan membuat hantaran berniat jahat ke arah Masjid Jamek Dato Bandar Haji Ahmad Shah di Rasah, Seremban yang ditohmah sebagai masjid haram.

“Arahan tuduh di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Siasatan terhadap Arumugam Dorasamy berhubung kenyataan mengajak persatuan hindu agama Ani Malaysia mengadakan protes jalanan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap Zamri Vinoth,”katanya.

Mohd Khalid berkata, Zamri Vinoth yang juga Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) Zamriakan akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur, Tamim Dahri (Mahkamah Majistret Langkawi), P Mahendra Boopathy (Mahkamah Majistret Seremban) dan Arun Dorasamy di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang.

Katanya kesemua individu terbabit akan dituduh di mahkamah yang ditetapkan 9 pagi esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top