harisfadli@hmetro.com.my
Putrajaya: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan serbuan ke atas beberapa premis milik ahli perniagaan, Victor Chin yang didakwa terbabit dengan ‘mafia korporat’.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan membabitkan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Tindakan juga sudah diambil di beberapa premis yang berkaitan dengan individu dikenali sebagai Victor.
“Kes ini masih dalam siasatan dan jika perlu, sidang media seterusnya akan diadakan untuk memaklumkan perkembangan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar.
Terdahulu media melaporkan sejumlah premis milik ahli perniagaan itu diserbu SC dan PDRM serta beberapa dokumen disita bagi membantu siasatan.
Susulan itu Victor dilapor berkata pihaknya menafikan pembabitan dirinya dalam mafia korporat seperti yang digembar gemburkan.
Menerusi kenyataan e-mel kepada agensi berita Bloomberg, dia tidak menafikan mengenai kewujudan kumpulan itu namun menafikan pembabitannya.
Minggu lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa Kabinet mengarahkan PDRM dan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan manipulasi korporat berkenaan.
Arahan Kabinet itu dibuat di tengah-tengah gesaan meluas termasuk daripada menteri kanan kerajaan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan yang dilaporkan oleh Bloomberg bulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




