lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Senyuman terukir pada wajah 240 pelajar Program Asrama Malaysia apabila menerima duit raya dan diraikan pada majlis iftar di restoran terkemuka di Jalan Ampang, di sini, malam ini.
Program berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Global Mesra, Yayasan Muhibah Malaysia serta Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (KO-KHAWAN).
Pengasas Yayasan Global Mesra, Datuk Mohd Nasir Mohd Rashid berkata, penerima terdiri daripada pelajar Victoria Institution berusia 13 hingga 18 tahun dari keluarga memerlukan tanpa mengira kaum.
“Program ini bertujuan membantu pelajar yang berjauhan daripada keluarga merasai pengalaman berbuka puasa dalam suasana meriah dan kita mahu mereka rasa dihargai.
“Kita berharap sumbangan duit raya ini dapat meringankan beban keluarga pelajar ini terutama dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Majlis sebegini turut memberi ruang kepada para pelajar menghayati nilai kebersamaan, semangat berkongsi rezeki serta membina hubungan yang lebih erat dalam suasana harmoni sepanjang bulan Ramadan,” katanya pada majlis berkenaan, di sini, malam ini.
Turut hadir, isteri Menteri Pertahanan Malaysia, Datin Seri Rosni Omar dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Seri Hasbullah Mohd Ali.
Hadir sama, Pengerusi Yayasan Muhibah Malaysia, Lim Ye Han serta Pengerusi Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (KO-KHAWAN) merangkap Naib Pengerusi Yayasan Muhibah Malaysia, Datuk Eng Yee Koon.
Sementara itu, Eng berkata, Ramadan adalah masa terbaik untuk menyemai nilai ihsan, kasih sayang dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Majlis berbuka puasa seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah mencerminkan semangat perpaduan rakyat Malaysia yang saling menghormati kepelbagaian budaya dan kepercayaan.
“Apabila pelajar daripada pelbagai latar belakang dapat duduk semeja berkongsi juadah berbuka puasa, ia menjadi simbol keharmonian negara serta membentuk generasi muda yang memahami nilai toleransi dan perpaduan sejak di bangku sekolah.
“Semangat Ramadan ini juga membawa kita lebih dekat kepada sambutan Aidilfitri yang menekankan nilai kemaafan, kesyukuran dan kebersamaan dalam masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




