O’SMACH – Pejabat dan komputer rosak, seragam polis palsu ditemui, dan wang kertas tiruan berselerak, itulah sisa peninggalan ratusan penipu siber yang melarikan diri dari sebuah resort di sempadan Kemboja-Thailand, menurut tinjauan yang dilakukan oleh tentera Thailand baru-baru ini.
Asia Tenggara kini dikenali sebagai pusat kepada industri penipuan dalam talian bernilai berbilion dolar, di mana ratusan ribu individu — ada yang diperdagangkan secara paksa, manakala sebahagian lain bekerjasecara rela — menipu pengguna internet di seluruh dunia melalui skim pelaburan kripto dan penipuan cinta.

Seorang anggota Tentera Diraja Thailand berdiri di dalam sebuah pusat penipuan yang ditinggalkan di bandar O’Smach.
Pada Khamis, AFP diberi peluang mengikuti tinjuan tentera Thailand ke kawasan O’Smach di Kemboja yang ditawan semasa pertempuran sempadan tahun lalu.
Thailand mendakwa kawasan ini digunakan bukan sahaja oleh tentera Kemboja tetapi juga oleh penjenayah yang menjalankan operasi penipuan rentas sempadan.

Sebuah bilik kerja pusat penipuan yang rosak akibat pertempuran antara Thailand dan Kemboja.
Ketegangan antara kedua-dua negara tercetus semasa pertempuran selama tiga minggu pada Disember 2025 di sempadan yang dipertikaikan, yang merupakan ketegangan terbaharu dalam konflik lama.

Barangan peribadi ditinggalkan di ruang kediaman sebuah pusat penipuan di bandar O’Smach.
Thailand berkata pada bulan itu, pasukannya menyerang beberapa kasino di seberang sempadan, menuduh ia digunakan sebagai lokasi simpanan senjata dan posisi menembak tentera Kemboja.
Sekurang-kurangnya dua kasino dikenal pasti sebagai pusat operasi penipuan siber.
Diserang ‘tanpa sengaja’ oleh Thailand
Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri, berkata, “Serangan terhadap kemudahan ini secara kebetulan berlaku kerana ia digunakan sebagai pangkalan tentera oleh pasukan Kemboja.
“Semasa pasukan kami maju, kami mendapati kemudahan di sebalik kasino adalah pusat penipuan,” ujarnya.

Wang kertas seratus dolar AS palsu kelihatan di lantai di pusat penipuan yang ditinggalkan.
Sejak gencatan senjata yang rapuh pada akhir Disember 2025, tentera Thailand mengekalkan kehadiran di kawasan O’Smach, walaupun Kemboja berulang kali meminta mereka menarik balik pasukan.
Menteri Maklumat Kemboja, Neth Pheaktra, menuduh Thailand cuba membenarkan ‘pengambilalihan de facto’ wilayah Kemboja dengan alasan operasi antipenipuan.

Seorang pegawai Tentera Diraja Thailand meninjau kaunter kerja yang ditinggalkan di bandar O’Smach.
“Tindakan sebegini merupakan salah guna naratif penguatkuasaan undang-undang untuk membenarkan pencerobohan tentera,” katanya.
Lebih dua bulan selepas pertempuran berakhir, sisa runtuhan dan kelengkapan pusat penipuan jelas menunjukkan kebanyakan penipu melarikan diri tergesa-gesa.

Topi polis Vietnam palsu kelihatan di sebuah bilik yang rosak akibat pertempuran antara Thailand dan Kamboja di sempadan Thailand-Kamboja.
Wartawan dibawa meninjau pejabat dan asrama yang dipenuhi katil bertingkat, lantai pentas pejabat palsu dari Australia, Kanada dan India, serta senarai nombor telefon sasaran dari seluruh dunia.
Tentera Thailand mendakwa sekitar 20,000 penipu yang tinggal di kawasan itu melarikan diri sebelum peluru berpandu dilepaskan.

Wang kertas AS palsu berselerak di lantai dijumpai di pusat penipuan berkenaan.
Analisis awal AFP pada bulan Disember 2025 menunjukkan lokasi ini, termasuk penginapan penipu dari Vietnam dan Indonesia serta pejabat taikun Cina, menempatkan ribuan mangsa perdagangan manusia.
Kawasan ini bersebelahan dengan resort dan kasino O’Smach milik senator dan usahawan Kemboja, Ly Yong Phat, yang disenarai hitam oleh Washington pada 2024 kerana didakwa terbabit dengan buruh paksa dalam pusat penipuan dalam talian.
Prapas Sornchaidee dari Tentera Udara Thailand berkata, Kemboja perlu mengiktiraf operasi penipuan ini dan bekerjasama dengan Thailand serta negara lain untuk membanterasnya.
“Jika Kemboja mengakui aktiviti ini berlaku dan tidak dapat mengawalnya, serta berkoordinasi dengan Thailand, masalah ini boleh ditangani dengan lebih berkesan,” katanya. -AFP



