Los Angeles: Nate Diaz akan kembali ke gelanggang MMA untuk pertama kali dalam hampir empat tahun selepas bersetuju menentang Mike Perry menerusi pertarungan lima pusingan kategori welterweight pada 16 Mei di Los Angeles, menurut pengumuman Most Valuable Promotions milik Jake Paul, semalam.
Pertarungan itu akan berlangsung dalam kad utama yang menampilkan Ronda Rousey menentang Gina Carano di Intuit Dome dan akan disiar secara langsung di Netflix sebagai sebahagian daripada acara MMA pertama MVP.
Diaz, 40, terakhir bertarung dalam MMA pada September 2022 apabila dia menundukkan Tony Ferguson di UFC 279. Dia memiliki rekod kerjaya 21-13, termasuk 12 kemenangan menerusi submission. Sejak pertarungan MMA terakhirnya, Diaz kekal aktif melalui perlawanan tinju silang. Dia tewas kepada Paul pada 2023 sebelum menewaskan Jorge Masvidal pada 2024.
“Gembira untuk kembali beraksi. Sudah tiba masanya,” kata Diaz melalui media sosial. “Jangan lupa dari mana semuanya bermula. Saya ada rancangan untuk melakukan lebih banyak lagi dalam 10 tahun akan datang, tidak kira di mana sekalipun. Masa untuk menetapkan standard semula, jadi bersedia untuk penguasaan baru lagi dan lagi sehingga akhir masa.”
Perry, 34, juga membawa rekod yang menarik. Selepas meninggalkan UFC pada 2021, dia membina semula jenamanya dalam tinju bare-knuckle, kekal tanpa kalah dan memenangi gelaran simbolik ‘King of Violence’ BKFC, sambil juga meneroka tinju yang berakhir dengan kekalahan kepada Paul pada 2024. Dia mempunyai rekod MMA 14-8 dengan 11 kemenangan knock-out dan rekod sempurna 6-0 dalam pertarungan bare-knuckle.
Pertarungan Diaz-Perry menjadi tonggak ketiga dalam malam yang dimulakan dengan Rousey menentang Carano. Bekas juara UFC, Francis Ngannou dijadualkan untuk pertarungan heavyweight menentang Philipe Lins.
“MVP telah menghasilkan acara tinju paling banyak ditonton sejak kemunculan kabel, dan kini kami bersedia memecah rekod sekali lagi dengan jumlah tontonan terbesar dalam sejarah MMA dengan penambahan Diaz menentang Perry kepada Rousey vs Carano dan Ngannou berdepan Lins,” kata Nakisa Bidarian, CEO MVP dalam satu kenyataan.
“Nate Diaz adalah ‘Real BMF’, dan Mike Perry adalah ‘King of Violence’ sekali gus ini akan menjadi perang dari sidang media pertama sehingga akhir apabila salah seorang daripada mereka diangkat tangannya sebagai pemenang.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




