9 ditahan bergasak depan masjid

9 ditahan bergasak depan masjid

am@hmetro.com.my

Melaka: Cemar kesucian bulan Ramadan dengan bertumbuk dan bergaduh beramai-ramai di hadapan Masjid Ar-Rabbani Tangga Batu, di sini, pada jam 4 pagi.

Itu tindakan liar sekumpulan remaja termasuk pelajar sekolah yang diberkas polis susulan insiden pergaduhan awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua sembilan suspek berusia 18 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar Tangga Batu di sini, pada hari kejadian, bagi membantu siasatan kes itu.

“Pelajar terbabit direman sehari manakala individu lain direman tiga hari.

“Polis turut merampas pelbagai barangan disyaki digunakan suspek dalam pergaduhan itu termasuk topi keledar dan motosikal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini, kelmarin.

Beliau berkata, polis trafik sudah membuat operasi di kawasan itu bagi membanteras kegiatan samseng jalanan pada minggu lalu selain turut menahan beberapa individu.

Namun katanya, kumpulan geng motosikal terbabit dikesan masih lagi berkumpul seolah-olah mencabar pihak polis supaya menangkap mereka.

.”..kepada kumpulan remaja, menjelang Hari Raya ini kami memberi peringatan keras supaya tidak berkumpul, membuat kecoh terutamanya di kawasan bandar dan perumahan.

“Memang kali ini agak kurang ajar…berlaku (bergaduh) di depan masjid dalam bulan puasa.

“Sepatutnya di bulan baik dan mulia ni masjid itulah tempat untuk beramal ibadat, bukannya digunakan untuk berkumpul dan membuat kecoh.

“Kita tidak akan memberi muka kepada puak-puak ini dan akan memastikan mereka dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang buruh binaan cedera selepas dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian rusuhan di tepi jalan berhampiran Masjid Ar-Rabbani Tangga Batu di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa berusia 24 tahun didakwa ditegur oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati dan menuduh dia menjadi punca adiknya ditangkap polis berhubung kes kecurian motosikal.

Siasatan awal mendapati suspek bersama beberapa rakannya didakwa mengepung mangsa sebelum menyerangnya menggunakan topi keledar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top