TEHERAN – Iran meningkatkan keupayaan ketenteraannya apabila melancarkan peluru berpandu balistik Sejjil-2 buat kali pertama sejak konflik dengan Amerika Syarikat dan Israel tercetus, sekali gus menandakan perubahan besar dalam strategi peperangan negara itu.
Pelancaran peluru berpandu dua peringkat berasaskan bahan api pepejal itu dilakukan dalam gelombang ke-54 Operasi Janji Benar 4 oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), yang menyasarkan wilayah Israel.
Serangan tersebut turut melibatkan pelbagai jenis peluru berpandu lain termasuk Khorramshahr, Keibar, Qadr dan Emad.
Komander Pasukan Aeroangkasa IRGC, Majid Mousavi mengesahkan penggunaan Sejjil buat kali pertama sejak konflik bermula pada 28 Februari lalu.
Kesan serangan itu dilaporkan serta-merta apabila siren kecemasan dibunyikan di Tel Aviv, Herzliya serta lebih 100 lokasi lain, memaksa penduduk bergegas ke tempat perlindungan.
Sejjil-2 merupakan peluru berpandu balistik jarak sederhana yang dibangunkan Iran sejak 2008, dengan versi penambahbaikan pada 2009.
Berbeza dengan peluru berpandu lama berasaskan bahan api cecair, sistem bahan api pepejal membolehkan ia dilancarkan dengan lebih pantas tanpa perlu proses pengisian yang panjang.
Dari segi keupayaan, Sejjil-2 mempunyai jarak serangan sehingga 2,000 kilometer dan mampu membawa muatan letupan sekitar 700 kilogram, malah boleh mencecah sehingga 1.5 tan bagi jarak lebih dekat.
Saiznya yang besar sekitar 18 meter panjang dengan berat pelancaran melebihi 20 tan menjadikannya antara aset paling berkuasa dalam arsenal peluru berpandu Iran.
Keupayaan peluru berpandu ini turut dipertingkatkan dengan sistem dua peringkat, di mana peringkat pertama akan terpisah selepas bahan api habis sebelum enjin peringkat kedua diaktifkan, meningkatkan ketepatan dan jarak sasaran.
Selain itu, Sejjil-2 berpotensi dilengkapi teknologi MIRV yang membolehkannya membawa beberapa kepala peledak ke sasaran berbeza dalam satu pelancaran.
Penganalisis ketenteraan melihat penggunaan Sejjil-2 sebagai isyarat jelas perubahan doktrin ketenteraan Iran, khususnya dalam meningkatkan keupayaan serangan jarak jauh dan daya pemusnah terhadap sasaran strategik seperti pangkalan tentera dan infrastruktur penting.
Kemunculan peluru berpandu ini di medan konflik dilihat menambah tekanan kepada sistem pertahanan Israel, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu terhadap keupayaan pemintasan sedia ada.
Konflik yang berterusan sejak hujung Februari lalu kini memasuki fasa lebih berbahaya, dengan kedua-dua pihak meningkatkan intensiti serangan dan menggunakan aset ketenteraan berteknologi tinggi.-Agensi
Ringkasan AI
- Iran meningkatkan keupayaan ketenteraannya dengan melancarkan peluru berpandu balistik Sejjil-2
- Pelancaran ini dilakukan sebagai bagian dari Operasi Janji Benar 4 yang menyasarkan wilayah Israel
- Sejjil-2 merupakan peluru berpandu jarak sederhana yang mampu membawa muatan letupan hingga 1.5 tan
- Sistem bahan api pepejal membolehkan pelancaran lebih pantas dan meningkatkan ketepatan sasaran
- Penggunaan Sejjil-2 menandakan perubahan besar dalam strategi peperangan Iran dan menambah tekanan kepada sistem pertahanan Israel


