Untung bersih Sunway Healthcare RM252.2 juta pada 2025

Untung bersih Sunway Healthcare RM252.2 juta pada 2025

PETALING JAYA: Sunway Healthcare Holdings Berhad (SHH) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM252.2 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025 berbanding RM257.5 juta pada tahun sebelumnya.

Kumpulan itu melaporkan peningkatan dalam keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada RM510.4 juta berbanding RM469.7 juta pada tempoh sama tahun sebelum.

Ini terutamanya disokong oleh prestasi operasi yang lebih kukuh dalam segmen operasi hospital.

Hasil SHH pula meningkat kepada RM2.20 bilion berbanding RM1.85 bilion pada 2024, disokong oleh peningkatan hasil segmen operasi hospital sebanyak 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan kukuh di hospital sedia ada serta sumbangan daripada hospital baharu yang mula beroperasi pada tahun semasa dan tidak beroperasi pada tahun sebelumnya.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas SHH, Datuk Lau Beng Long berkata, prestasi pada 2025 menunjukkan kekuatan ekosistem kesihatan bersepadu Sunway Healthcare dan permintaan berterusan terhadap perkhidmatan kesihatan swasta berkualiti tinggi di Malaysia.

“Walaupun tahun itu menandakan tahun pengembangan pesat dengan pembukaan SMC Damansara dan SMC Ipoh, kumpulan mencatat pertumbuhan hasil yang kukuh dengan mengekalkan kecemerlangan klinikal dan memperluas bahagian pasaran pelancongan perubatan.

“Breakeven hospital baharu tepat pada masanya mencerminkan skalabiliti model operasi dan pelaksanaan yang berdisiplin.

“Kami terus menumpukan kepada pengukuhan keupayaan klinikal, pengembangan dan pengoptimuman kapasiti di seluruh rangkaian.

“Ini turut dengan memanfaatkan inisiatif digital dan berasaskan data untuk meningkatkan keberkesanan operasi dan pengalaman pesakit,” katanya dalam kenyataan.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, kumpulan mencatat hasil RM614.6 juta, meningkat 21 peratus berbanding RM506.7 juta pada suku sama tahun sebelum.

EBITDA suku tersebut naik 23 peratus tahun ke tahun kepada RM164.7 juta daripada RM134.3 juta, disokong prestasi operasi lebih kukuh daripada SMC Sunway City, SMC Velocity dan SMC Penang.

Ia turut disumbangkann oleh SMC Damansara yang mula beroperasi Disember 2024, manakala sebahagiannya diimbangi dengan kerugian permulaan SMC Ipoh (mula beroperasi April 2025).

Sementara itu, segmen operasi hospital menjana hasil RM603.3 juta, meningkat 21 peratus daripada RM497.3 juta pada suku keempat 2024, didorong oleh jumlah pesakit yang lebih tinggi di semua hospital Kumpulan termasuk sumbangan daripada SMC Damansara dan SMC Ipoh.

Kemasukan pesakit dalam bagi suku tersebut meningkat 12 peratus tahun ke tahun kepada 31,692, manakala hasil per kemasukan pesakit dalam naik 6.0 peratus tahun ke tahunkepada RM11,724.

Hasil pesakit antarabangsa bagi suku itu pula meningkat daripada RM59.7 juta kepada RM91.5 juta tahun ke tahun, terutamanya daripada peningkatan pesakit dari Indonesia, China dan Kemboja.

Mengulas mengenai prospek 2026, beliau berkata, kumpulan kekal berhati-hati optimis bagi tahun ini walaupun wujud tekanan daripada pembayar.

“Ini disokong permintaan berterusan terhadap perkhidmatan kesihatan swasta, penstabilan progresif hospital baharu, serta fokus berterusan terhadap pengoptimuman aset dan keberkesanan operasi.

“Keputusan Kementerian Kesihatan menangguhkan pelaksanaan Diagnosis Related Group (DRG) ke 2027 juga memberikan kejelasan lebih baik dan membolehkan peralihan lebih teratur.

“Sementara itu, kumpulan terus meningkatkan kesiapsiagaan sistem dan kemampuan organisasi dalam pengekodan klinikal dan dokumentasi,” jelasnya.

Tambahnya, ketegangan perang di Iran baru-baru ini mungkin memberi kesan tidak langsung kepada sektor kesihatan Malaysia.

“Ia melalui gangguan rantaian bekalan perubatan global dan peningkatan kos akibat ketidakpastian geopolitik serta kenaikan harga minyak.

“Walaupun menghadapi cabaran ini, rangkaian bekalan pelbagai dan sistem kesihatan kukuh di Malaysia dijangka mengekalkan penyampaian perkhidmatan yang stabil,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top