am@hmetro.com.my
Padang Besar: Anggota pasukan keselamatan diingatkan tidak memberi sebarang ruang kepada mereka yang menjadi pembelot yang cuba menggugat kedaulatan negara ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah keamanan tidak dapat dinikmati tanpa pengorbanan dan komitmen tinggi pasukan keselamatan.
“Tanpa pengorbanan, dedikasi dan komitmen tinggi daripada anggota pasukan keselamatan, keamanan yang kita nikmati hari ini sukar dipertahankan.
“Allah melihat dan memantau setiap pergerakan perbuatan kita setiap masa. Oleh itu, tingkatkan tekad serta semangat juang, dan curahkanlah sepenuh jiwa raga dengan rasa cinta yang mendalam kepada negara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya Aidilfitri 2026 kepada agensi keselamatan di Dewan Serbaguna Kompeni C Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, semalam.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Faizuddin turut memuji langkah bersepadu agensi keselamatan yang berjaya mematahkan perbuatan pihak yang cuba menjalankan kegiatan haram rentas sempadan Malaysia-Thailand.
Titah baginda, kerjasama dengan rakan sejawat di negara jiran khususnya pihak berkuasa Thailand juga akan terus diperkasakan bagi memastikan kawalan sempadan lebih berkesan.
“Masyarakat di kedua-dua belah sempadan juga semakin matang dengan mentaliti kelas pertama apabila aktif menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika ada sebarang kegiatan mencurigakan.
“Keselamatan negara bukanlah tanggungjawab pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan seluruh masyarakat,” titah baginda.
Pada majlis berkenaan, baginda berkenan menyampaikan sumbangan kuih raya kepada 12 agensi keselamatan termasuk PGA, Rejimen Renjer Diraja, Kastam, Imigresen, Bomba, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




