Menyamar rakan, intai wanita salin pakaian di pusat beli belah

Menyamar rakan, intai wanita salin pakaian di pusat beli belah

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seorang wanita berdepan detik mencemaskan selepas menjadi mangsa lelaki miang yang mengintainya ketika mencuba pakaian di dalam bilik persalinan sebuah kedai pakaian di pusat beli belah di Bukit Jalil.

Malah lelaki itu berpura-pura rakan kepada wanita itu menyebabkan pekerja di premis terbabit tidak menyedari perbuatannya.

Mangsa, ingin dikenali Cik Tung, 30, berkata, ketika kejadian jam 1 tengah hari 5 Mac itu, terdapat tiga pekerja wanita bertugas di kedai berkenaan.

“Saya pergi ke pusat beli-belah itu seorang diri selepas urusan berhampiran. Ketika sedang mencuba pakaian di dalam bilik persalinan, langsir bilik saya hampir ditarik dari luar sebanyak tiga kali.

“Pada masa itu saya menyangka mungkin pekerja tersalah masuk, lalu segera menjerit memberitahu bilik itu ada orang di dalam.

“Selepas selesai mencuba pakaian dan keluar dari bilik persalinan, saya ternampak seorang lelaki berusia sekitar 40 tahun berdiri berhampiran.

“Lelaki terbabit kemudian berpura-pura bertanya sesuatu kepada pekerja sebelum beredar dengan tergesa-gesa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, dia berasa hairan dengan kehadiran lelaki itu kerana kedai berkenaan hanya menjual pakaian wanita.

“Apabila saya bertanya kepada pekerja mengapa lelaki itu dibenarkan berada berhampiran bilik persalinan, mereka memberitahu lelaki itu mendakwa dia datang bersama saya, sebab itu mereka tidak menghalangnya.

“Kerana bimbang dirinya diintai ketika berada di dalam bilik persalinan, dia mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak kedai dan membuat laporan polis, serta berharap suspek dapat diberkas secepat mungkin,” katanya.

Cik Tung turut berharap pengusaha pakaian memberi keutamaan kepada keselamatan pelanggan, khususnya dalam melindungi privasi wanita di bilik persalinan serta mencegah kejadian intipan.

Sementara itu, pihak pengurusan kedai pakaian berkenaan mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan laporan polis sudah dibuat.

“Rakaman CCTV juga telah diserahkan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Pelanggan mahupun pihak kedai tidak mahu kejadian seperti ini berlaku.

“Namun, kami sukar menghalang individu yang menyamar dengan mendakwa orang di dalam bilik persalinan ialah isteri atau ahli keluarga mereka, untuk mendekati kawasan itu,” katanya.

Katanya, pihaknya menegaskan kedai itu sentiasa mengutamakan pelanggan, dan selepas kejadian, pihaknya kerap memaklumkan perkembangan siasatan kepada mangsa serta berharap polis dapat menangkap suspek dengan segera.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kita sedang siasat dan mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top