Kerajaan bersetuju memberi diskaun tol sebanyak 50 peratus bagi membantu meringankan kos perjalanan rakyat untuk pulang menyambut Aidilftiri di kampung halaman.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu melibatkan tanggungan kewangan sebanyak RM21.03 juta dalam bentuk pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.
“Diskaun ini akan berkuat kuasa mulai pukul 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 (Rabu) hingga jam 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis).
“Ia melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, pemberian diskaun itu merupakan antara beberapa langkah diambil kerajaan bagi membantu rakyat sepanjang musim perayaan.
Antaranya kata beliau, termasuk bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 5.2 juta penerima melibatkan peruntukan RM1.3 bilion, cuti tambahan Aidilfitri kepada penjawat awam serta pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac.
Selain itu katanya, kerajaan turut memperluaskan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bernilai RM400 kepada pelbagai institusi pengajian tinggi.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI melalui Jabatan Insolvensi Malaysia akan melaksanakan inisiatif pelepasan kebankrapan secara ‘fast track’ melibatkan kira-kira 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal.
“Semua langkah ini adalah manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI bagi memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang dicapai bersama.
“Pada masa sama, saya ingin mengulangi seruan agar rakyat terus berbelanja secara berhemah sepanjang meraikan Syawal,” katanya.




