am@hmetro.com.my
Seremban: Wujud kes penipuan barang kemas dan logam emas tiruan yang dijual kepada orang ramai.
Menyedari perkara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan bersama-sama dengan KPDN Putrajaya menjalankan operasi dan pemeriksaan ketulenan logam berharga di lima premis penjualan emas di
sekitar Negeri Sembilan.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata, bagaimanapun hasil pemeriksaan terhadap tiga hingga lima sampel logam berharga yang dipilih secara rawak mendapati kesemuanya mematuhi tahap ketulenan.
Menurutnya, peratusan komposisi sebenar logam emas itu menepati spesifikasi bagi standard logam berharga itu.
“Pemeriksaan terhadap butiran resit jualan turut dilaksanakan bagi memastikan peniaga mematuhi perkara yang ditetapkan mengikut Peraturan -Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Diperbuat DaripadaLogam Berharga) 1994.
“Antara butiran diwajibkan adalah nama dan alamat penuh pembekal, tarikh pembelian, nama dan jenis artikel itu, standard ketulenan artikel itu, harga logam berharga bagi setiap satu gram dan berat artikel itu,’ katanya.
Bagaimanapun hasil pemeriksaan itu, sebanyak tiga kes dikesan iaitu dua kes
berkaitan gagal mempamerkan tanda harga. Ini jelas kesalahan mengikut Perintah 2(1), Perintah Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Satu lagi kes kerana menggunakan atau ada dalam milikan alat timbang yang tidak
ditentusahkan dan disiasat mengikut Seksyen 14(6), Akta Timbang dan
Sukat 1972,” katanya tadi.
Muhammad Zahir berkata mana-mana pihak yang didapati bersalah membuat perihal dagangan palsu mengikut Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] boleh diambil tindakan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi
RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tigatahun atau kedua-duanya bagi individu manakala bagi syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM250,000.
Katanya KPDN melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan
bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




