Trump tidak puas hati dengan respons UK terhadap konflik Iran

Trump tidak puas hati dengan respons UK terhadap konflik Iran

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pendirian United Kingdom (UK) berhubung konflik Iran, dengan menyatakan sekutu rapat itu sepatutnya memainkan peranan lebih aktif dalam krisis berkenaan.

Trump berkata beliau ‘tidak gembira’ dengan pendekatan UK selepas Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menegaskan negaranya tidak akan terlibat dalam ‘perang yang lebih luas’.

Sebaliknya, Starmer memaklumkan UK sedang bekerjasama dengan sekutu lain untuk merangka pelan kolektif bagi membuka semula laluan strategik Selat Hormuz.

Presiden AS itu turut menegaskan bahawa UK sepatutnya terlibat secara lebih ‘bersemangat’, khususnya dalam usaha memastikan laluan Selat Hormuz – saluran utama penghantaran minyak dunia – kembali beroperasi dengan selamat.

Ketegangan memuncak selepas Iran bertindak menutup laluan tersebut, sekali gus menyebabkan harga minyak global melonjak.

Teheran juga dilaporkan mengancam untuk menyerang mana-mana kapal yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat, selain risiko tambahan daripada periuk api laut di kawasan berkenaan.

Trump sebelum ini menggesa UK dan negara lain menghantar kapal perang ke Teluk bagi melindungi laluan perkapalan strategik itu.

Namun, tindakan berhati-hati London dilihat tidak seiring dengan jangkaan Washington.

Malah, Trump secara terbuka menyatakan kekecewaannya terhadap UK, yang disifatkannya sebagai ‘sekutu bertaraf Rolls-Royce’.

“Saya sangat terkejut dengan sikap UK terhadap perang ini. Saya fikir ia sesuatu yang teruk,” katanya.

Ketegangan antara kedua-dua pemimpin turut berpunca daripada keputusan awal UK yang enggan membenarkan AS menggunakan pangkalan tenteranya untuk melancarkan serangan terhadap Iran.

Bagaimanapun, London kemudian membenarkan penggunaan pangkalan tersebut bagi tujuan pertahanan terhadap serangan peluru berpandu Iran.

Dalam perkembangan berkaitan, UK telah menghantar kapal perang HMS Dragon dari Portsmouth pada 10 Mac untuk menyertai operasi pertahanan di rantau berkenaan.

Kapal pemusnah itu dijangka melindungi pangkalan tentera udara RAF Akrotiri di Cyprus, yang sebelum ini dilaporkan diserang dron buatan Iran.

Sumber UK menjelaskan bahawa Starmer sedang menilai pendekatan bersama sekutu sebelum membuat keputusan ketenteraan, bukannya bertindak secara bersendirian.

Kenyataan keras Trump ini mencerminkan tekanan yang semakin meningkat terhadap sekutu Barat untuk mengambil peranan lebih agresif dalam konflik Iran, yang kini memberi kesan besar kepada keselamatan serantau dan ekonomi global, khususnya pasaran tenaga dunia. – Agensi

Ringkasan AI

  • Presiden AS, Donald Trump, mengekspresikan ketidakpuasan terhadap pendirian UK mengenai konflik Iran
  • Trump menyatakan UK sepatutnya lebih aktif dalam usaha membuka semula Selat Hormuz yang strategik
  • Keputusan Iran menutup Selat Hormuz menyebabkan harga minyak global naik
  • Trump sebelum ini menggesa UK dan negara lain untuk menghantar kapal perang ke Teluk bagi melindungi laluan perkapalan
  • Keputusan awal UK menolak untuk membenarkan AS menggunakan pangkalan tenteranya menyebabkan ketegangan antara pemimpin kedua negara
Scroll to Top