Munich: Ketua jurulatih Bayern Munich, Vincent Kompany, mengesahkan penjaga gol remaja berusia 16 tahun, Leonard Prescott, berkemungkinan membuat debut dalam aksi kedua Liga Juara-Juara menentang Atalanta sekiranya Jonas Urbig gagal pulih daripada gegaran.
Prescott, yang mewakili skuad bawah 19 Jerman, mendapat kebenaran khas untuk bermain sebagai tonggak remaja dalam perlawanan terbabit.
Dia kini menjadi satu-satunya pilihan jika Urbig tidak layak beraksi selepas mengalami kecederaan dalam kemenangan 6-1 Bayern di Itali minggu lalu.
“Jonas berlatih seperti biasa hari ini. Keputusan esok akan bergantung kepada penilaian perubatan.
“Jika semuanya berjalan lancar, Urbig akan menjadi penjaga gol. Jika tidak, kami perlu cari penyelesaian lain,” kata Kompany pada sidang media.
Kompany menegaskan Prescott tenang dan pasukan kejurulatihan juga yakin dengan kemampuan pemain muda itu.
“Jika dia bermain esok, dia akan mendapat sokongan penuh kami. Tidak ada pemain muda yang dipaksa memikul peranan utama,” tambahnya.
Bayern kekal tanpa penjaga gol utama Manuel Neuer yang masih dalam proses pemulihan, manakala penjaga gol ketiga Sven Ulreich turut cedera.
Walaupun mempunyai kelebihan lima gol dari aksi pertama, Kompany menegaskan pasukannya tidak akan mengamalkan corak permainan selamat.
“Kamu tidak boleh berasa terlalu selesa. Momentum yang kami bina harus dikekalkan. Ini bukan perlawanan persahabatan… apa yang penting bukan hanya keputusan, namun juga prestasi,” katanya.
Pemenang perlawanan ini akan bertemu Real Madrid atau Manchester City di suku akhir Liga Juara-Juara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




