Ipoh: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan memproses bahan mineral jenis kaolin secara haram dalam serbuan Ops Bersepadu Khazanah di sebuah premis di kawasan Simpang Pulai semalam, dengan nilai rampasan dianggarkan RM20.88 juta.
Komander Briged Utara PGA SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata pihaknya menahan seorang lelaki tempatan dan warga Myanmar masing-masing berusia 70-an dan 30-an dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses bahan tanpa sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa.
Beliau berkata operasi itu dilaksanakan Cawangan Risik Batalion 1 PGA dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak serta Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
“Semasa serbuan dijalankan, terdapat kegiatan pemprosesan mineral kaolin melibatkan proses seperti penghancuran, pencampuran dengan air, penapisan, pemisahan kekotoran, pemekatan, penapisan tekanan serta pengeringan dan pengisaran, sehingga menghasilkan galian kaolin yang berkualiti tinggi.
“Kilang ini dikesan menjalankan aktiviti pemprosesan tanah putih campuran dengan menapis, mencuci, memampatkan serta mengasingkan mineral kepada pasir dan kaolin tulen bagi meningkatkan kualitinya,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Balveer Singh berkata kaolin yang diproses kemudiannya dijual sebagai produk gred tinggi pada harga lebih tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Antara barangan yang dirampas ialah pelbagai jenis mesin memproses dan jentera, selain 354,000 kilogram (kg) mineral kaolin berkualiti tinggi yang telah siap diproses, 17,000 kepingan kaolin siap diproses, 95,000 kg longgokan kaolin siap diproses serta 50,000 kg tanah liat putih jenis kaolin yang belum diproses,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016 dan Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525), yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




