Diana fleksibel urus giliran anak-anak beraya

Diana fleksibel urus giliran anak-anak beraya

am@hmetro.com.my

Meskipun anak-anak di bawah penjagaannya selepas bercerai dengan pelakon, Farid Kamil, 44, Diana Danielle tetap memastikan hubungan anak-anak dengan bapa kandung mereka tidak terjejas.

Malah, kata Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 34, sempena sambutan raya tahun ini, dua anaknya iaitu Muhammad, 13, dan Nur Aurora juga akan pulang beraya selama dua minggu bersama keluarga Farid di Kedah.

“Anak-anak suka balik beraya di Kedah pada setiap tahun sebab di sana suasananya masih kampung dan tak sama seperti di Kuala Lumpur.

“Macam beraya di sini, selepas solat sunat hari raya, kami sudah tidak buat apa dah. Jika di Kedah, mereka boleh beraya dengan datuk dan nenek (sebelah keluarga Farid) serta sepupu dan saudara-mara yang sudah lama tak jumpa.

“Sebab anak-anak tinggal bersama ibu saya di sini dan boleh jumpa setiap hari, tapi mereka jarang berjumpa keluarga sebelah Farid di sana,” kata pelakon filem Imaginur itu.

Mengulas lanjut, kata Diana, dia dan Farid tidak ikut sangat soal giliran anak-anak mahu beraya di mana kerana ia terpulang kepada sebelah mana yang mahu pulang ke kampung.

“Pada sambutan raya tahun lalu pun, anak-anak beraya di Kedah ketika Aidiladha, tapi sambut Aidilfitri dengan saya.

“Isu beraya di mana itu kecil sahaja tak perlu diperbesarkan asalkan anak-anak gembira dan merasai suasana raya.

“Sambutan Aidiladha di Kedah juga meriah dan anak-anak boleh tengok lembu korban kena sembelih dan sebagainya. Kalau di sini, kita pula nak kena cari di mana surau atau masjid yang buat ibadah korban pula,” katanya.

Berkongsi persiapan baju raya anak-anak pula, kata Diana, semuanya diuruskan Farid sendiri.

“Farid sudah siap tempah baju raya untuk anak-anak dan mereka juga gembira bila tunjuk baju raya mereka yang sudah siap.

“Saya juga tidak masuk campur urusan baju raya anak-anak di sebelah sana kerana bila anak-anak balik ke Kuala Lumpur nanti, baru saya sediakan baju raya untuk mereka beraya di sini.

“Saya juga akan buat rumah terbuka meraikan anak-anak balik dari Kedah nanti untuk beraya bersama kawan-kawan serta keluarga di sini pula,” katanya.

Beralih sambutan raya di Kuala Lumpur pula, kata Diana yang tahun kedua menyambut raya dengan status solo, dia tidak sunyi kerana dikelilingi ahli keluarga dan rakan.

Katanya, dia akan menyambut raya bersama ibu, Norsiah Ramli dan adik angkat, Halley Hayden, 18, di ibu kota.

“Kalau dulu orang cakap, raya di Kuala Lumpur tak meriah sebab semua orang balik kampung, tapi berbeza sekarang semua kawan dan keluarga sebelah ibu ada dekat sini.

“Jadi, kita kena bersyukur sebab masih dipanjangkan umur dan dapat beraya lagi bersama keluarga dan rakan.

“Saya tidak berasa sunyi kerana kita ada kerjaya dan bila dapat bercuti raya ini masa untuk berehat. Pandai-pandai kita isi ruang dengan perkara yang buat kita tidak sunyi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top