am@hmetro.com.my
Alor Setar: Pelita gergasi terbesar yang dibina di Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti, di sini mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat pengiktirafan Malaysia Book Or Record (MBOR), malam tadi.
Pengurus Festival Pelita Raya, Azhani Osman berkata, pelita gergasi yang dibina dengan ukuran 20 meter lebar dan 15 meter tinggi serta lilitan 65 meter ini bukan sahaja dijangka memecah rekod kebangsaan, malah berpotensi menjadi Pelita Terbesar Di Dunia mengatasi rekod pelita yang kini berada di Alberta Canada.
Beliau berkata, struktur pelita yang ikonik itu direka khas untuk mengangkat semula tradisi pemasangan pelita yang sinonim dengan sambutan Aidilfitri dalam masyarakat Melayu sekali gus menjadikannya tarikan utama di Festival Pelita Raya 2026 itu.
“Festival Pelita Raya ini berlangsung bermula dari 10 Mac hingga 29 Mac ini turut menampilkan pelbagai tarikan yang menarik seperti Replika Pelita Masjid Zahir, Menara Alor Setar, Keris dan pelbagai bentuk lain yang menggunakan hiasan pelita.
“Hiasan pelita itu menggunakan 6,000 pelita besi dan 1,000 pelita buluh yang kita hias dengan semua bentuk terbabit.
“Alhamdulillah, kami menerima pengiktirafan Malaysia Book of Record dan Insya-Allah dengan sokongan kerajaan negeri, kita akan pohon untuk Guiness Book of Record untuk pelita terbesar di dunia,” katanya di Taman Jubli Emas, malam tadi.
Azhani berkata, pihaknya percaya festival ini akan menarik ribuan pengunjung dari seluruh negara serta pelancong untuk menyaksikan sendiri kehebatan Pelita Gergasi Terbesar Di Malaysia yang dijangka menjadi ikon baharu ke negeri ini sempena cuti Aidilfitri ini.
Katanya, orang ramai boleh hadir bersama keluarga bagi menyaksikan keunikan dan keindahan pelita gergasi ini sepanjang tempoh festival ini berlangsung dengan pembelian tiket RM10 dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.
Sementara itu, Pegawai Rasmi MBOR, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah berkata, untuk pengiktirafan ini perlu melalui beberapa proses selepas menerima borang permohonan daripada penganjur program untuk membuat replika terbesar untuk lampu pelita.
Beliau berkata, apabila melihat sendiri pelita gergasi ini, ia menggunakan lampu pelita hidup yang dipakai guna minyak diesel dan ada api yang keluar.
“Macam sebelum ini, ada replika yang bukan menggunakan pelita hidup tetapi hari ini ada kelainannya tersendiri menggunakan lampu pelita hidup,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, langkah yang diambil penganjur ini menyumbang kepada usaha pihaknya untuk memperkukuhkan kerajaan negeri.
“Orang ramai boleh bersantai, berkumpul dan juga merakam kenangan bergambar dengan lampu pelita yang dihias dengan pelbagai bentuk serta suasana meriah hari raya serta melihat sendiri keunikan pelita gergasi terbesar yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record ini.
“Saya rasa bangga dengan pencapaian ini dan ini menunjukkan bahawa program besar boleh diadakan di Kedah untuk merancakkan sektor pelancongan di negeri ini, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



