Lagu ‘Memori Raya’ Catchy Tapi Sentuh Hati, Shiha Zikir Muncul Dengan Karya Penuh Nostalgia

Lagu ‘Memori Raya’ Catchy Tapi Sentuh Hati, Shiha Zikir Muncul Dengan Karya Penuh Nostalgia

Penyanyi Shiha Zikir kembali memeriahkan Aidilfitri tahun ini dengan lagu raya terbaharu berjudul Memori Raya.

Menurut Shiha, lagu tersebut mengetengahkan elemen nostalgia yang mampu membawa pendengar mengimbau kembali kenangan lama ketika menyambut Hari Raya.

Walaupun disusun dengan melodi ceria dan mudah diingati, liriknya sarat emosi dan menyentuh perasaan.

“Lagu ini membawa kita kembali kepada kenangan lama sewaktu menyambut Aidilfitri. Apabila saya perdengarkan kepada keluarga, ramai yang tersentuh walaupun melodinya rancak. Mungkin kerana liriknya mengingatkan kita kepada momen lama,” katanya.

Merupakan hasil kerjasama antara Shiha Zikir Empire dan Giant Malaysia, kolaborasi ini menyusul kejayaan mereka menerusi lagu Tum Tum Raya pada tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Shiha Zikir Sedih, Bergenang Air Mata Bila Noraniza Idris Dikecam Kerana Suka Lagu ‘Minta Ampun’

Shiha turut menjelaskan lagu Memori Raya dihasilkan bersama komposer Iqie Hugh dan John Jeeves dalam tempoh yang singkat mengikut konsep yang diinginkannya.

@xtra_my Wah, sedaplaaa lagu raya baru Shiha Zikir yang berjudul Memori Raya ni.. Catchy kan? Memori Raya ciptaan Iqie Hugh & John Jeeves ini merupakan kolaborasi tahun kedua Shiha bersama Giant. Muzik video pun meriah gais! #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA

Katanya, sebelum ini dia sering tampil dengan lagu raya berentak tradisional dan joget, namun kali ini dia mahu memperkenalkan pendekatan yang lebih segar dan moden.

Mengulas mesej yang ingin disampaikan, Shiha berkata Memori Raya berkisar tentang kenangan Aidilfitri yang sering dikaitkan dengan kampung halaman, pertemuan bersama keluarga serta detik kebersamaan ketika membuat persiapan menyambut Syawal.

“Walaupun kedengaran biasa, lagu ini sebenarnya tentang bagaimana kita akan kembali mengingati kenangan di kampung, bertemu ibu bapa dan saudara mara setiap kali musim perayaan tiba,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nyanyi Karya Hafiz Hamidun & Fedtri Yahya, Shiha Zikir Angkat Keikhlasan Dalam Lagu Tradisional ‘Minta Ampun’

Shiha turut berkongsi bahawa idea menghasilkan lagu tersebut tercetus secara spontan ketika bulan Ramadan dan keseluruhan proses pembikinannya disiapkan dalam tempoh yang agak singkat.

“Walaupun semuanya berlaku dalam masa yang singkat, saya tetap memastikan setiap perkara berjalan dengan baik. Selain kepuasan diri, saya juga gembira dapat bekerjasama dengan Giant Malaysia dalam menjayakan projek ini,” katanya.

Bercerita tentang kerjasama itu, Shiha mengakui peluang tersebut membolehkannya mendekati lebih ramai masyarakat menerusi pelbagai kempen dan aktiviti yang dianjurkan.

“Saya berpeluang bertemu dan mengenali ramai orang kerana Giant aktif dalam membantu masyarakat. Saya juga dapat terlibat dalam pelbagai inisiatif bersama mereka. Jika tahun lalu kami membantu orang membeli barangan dapur, untuk tahun ini nantikan sesuatu yang berbeza,” katanya.

Menariknya, Shiha turut mengajak beberapa individu yang tidak dikenali melalui media sosial untuk menyertai penggambaran video muzik Memori Raya.

“Saya memilih beberapa orang dari media sosial untuk merasai pengalaman berada di set penggambaran. Saya juga mahu berkenalan dengan orang baharu. Mereka semua sangat teruja walaupun penggambaran mengambil masa yang agak panjang,” katanya.

Menurut Shiha, pengalaman tersebut memberi makna tersendiri apabila mereka sama sama mencipta kenangan baharu selari dengan konsep lagu tersebut.

Shiha berharap lagu Memori Raya dapat diterima baik oleh pendengar serta menjadi antara pilihan sepanjang musim perayaan.

“Saya berharap orang ramai dapat menyukai dan menyokong lagu ini serta lagu raya lain daripada artis tempatan. Semoga Memori Raya menjadi antara lagu pilihan Aidilfitri tahun ini. Jangan lupa juga untuk menonton video muzik dan menyertai cabaran yang akan saya kongsikan di media sosial,” katanya.

Sementara itu, pihak Giant Malaysia menyifatkan kerjasama bersama Shiha sebagai satu kolaborasi yang bermakna selepas kejayaan tahun lalu.

Ketua Pemasaran Giant Malaysia, Andre Lim berkata personaliti Shiha yang ceria dan mudah didekati menjadikannya sesuai dengan jenama tersebut.

“Kerjasama kami dengan Shiha dan Shiha Zikir Empire sebelum ini memberikan hasil yang sangat baik. Shiha mempunyai personaliti yang ceria dan dekat dengan masyarakat, dan bagi kami konsistensi memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan jenama,” katanya.

Sempena Aidilfitri tahun ini, Giant Malaysia turut melancarkan kempen utama bertemakan “Jimat Berganda, Raya Bergaya” yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik.

Scroll to Top