Penyanyi wanita lepas, bebas tuduhan edar dadah

Penyanyi wanita lepas, bebas tuduhan edar dadah

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan seorang penyanyi wanita daripada pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 400 gram, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Noor Ruwena Nordin selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Dalam penghakimannya, Noor Ruwena berkata, tiada keterangan membuktikan pemilikan dan kawalan eksklusif tertuduh ke atas barang terlarang berkenaan.

Peguam Sivahnanthan Ragava yang mewakili tertuduh, Emily Leong Jo Yee, 29, pula berkata, ia jelas menunjukkan tiada bukti kukuh untuk mengaitkan anak guamnya dengan dadah yang ditemui.

“Walaupun pendakwaan menyatakan dadah dijumpai di dalam rumah, mahkamah mendapati tiada keterangan jelas yang mengaitkan anak guam saya dengan bahan itu.

“Malah, mahkamah juga tidak berpuas hati dengan keterangan yang dikemukakan dan mendapati tiada elemen kawalan terhadap dadah berkenaan.

“Dalam kes serius seperti ini, beban pembuktian adalah tinggi dan di dalam kes ini pihak pendakwaan gagal membuktikan kes,” katanya kepada media.

Tertuduh bersama tiga yang lain ditahan pada awal 2024 dalam satu serbuan di sebuah kediaman di ibu kota.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiga tertuduh yang lain bagaimanapun diarahkan membela diri atas pertuduhan sama.

Mereka adalah Tan Lee Khai, 36; Nicky Hue, 35, dan Fong V-Vian, 33.

Sebaik keputusan dibacakan, penyanyi itu dilihat mengalirkan air mata kesyukuran sambil memeluk ahli keluarga yang hadir di galeri awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top