PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengambil pendekatan lebih proaktif susulan keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mengenakan hukuman denda serta pemotongan mata terhadap skuad Harimau Malaya.
Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, beberapa langkah penting perlu dirangka segera termasuk memperketatkan proses pengesahan status pemain serta memperkukuh aspek perundangan dalam pentadbiran badan induk itu.
“Koordinasi antara setiap jabatan dan unit juga perlu dipertingkatkan supaya segala urusan berkaitan pemain dapat diselaraskan dengan lebih teliti,” katanya.
Sulaiman turut menekankan kepentingan pematuhan penuh terhadap statut dan peraturan antarabangsa, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh AFC dan Persekutuan Bolasepak Antrabangsa (FIFA).
Pada masa sama, beliau berpandangan pembangunan bakat tempatan harus menjadi keutamaan utama.
Usaha memperluas program akar umbi serta memperkasakan liga domestik dilihat sebagai platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.
Walaupun hukuman tersebut memberi kesan kepada skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027, Sulaiman melihat terdapat beberapa perkembangan positif yang mula dizahirkan.
“Antaranya termasuk peningkatan kesedaran terhadap kepentingan tadbir urus yang telus, sikap lebih berwaspada berkaitan integriti, serta penambahbaikan menyeluruh dalam sistem pengurusan pemain,” jelasnya.
Beliau juga menyifatkan situasi yang berlaku initu sebagai peluang untuk membina semula pasukan dengan asas yang lebih kukuh, selain menyaksikan komitmen lebih
padu dalam kalangan pemain dan pegawai untuk bangkit semula.
“Dengan sokongan berterusan daripada penyokong, saya percaya Harimau Malaya mampu kembali lebih kompetitif di pentas antarabangsa.
“Dalam jangka masa panjang, episod ini wajar dijadikan pengajaran berharga bagi memperkukuh asas bola sepak negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang,” kata Sulaiman.
Sebelum hukuman pemotongan mata diumumkan, skuad negara berada pada landasan terbaik dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027, sebelum segala perancangan runtuh dalam tempoh singkat akibat kesalahan menurunkan pemain tidak layak.
Malaysia sebelum ini mengungguli Kumpulan F dengan kutipan maksimum 15 mata, namun pelanggaran Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC menyaksikan dua kemenangan penting ke atas Nepal dan Vietnam dibatalkan, digantikan dengan kekalahan 0-3.
Perkembangan itu mengubah sepenuhnya kedudukan kumpulan apabila skuad negara jatuh ke tangga kedua dengan sembilan mata, manakala Vietnam melonjak ke puncak dengan 15 mata sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir di Riyadh, Arab Saudi.
Lebih memeritkan, baki perlawanan menentang Vietnam pada 31 Mac tidak lagi memberi impak besar terhadap peluang kelayakan, sekali gus menutup ruang Harimau Malaya untuk mencipta sejarah layak ke Piala Asia dua edisi berturut-turut selepas penampilan di Qatar pada 2023.
Untuk rekod, Malaysia pernah layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 selain beraksi di pusingan akhir pada edisi 2007 selaku tuan rumah.
Ringkasan AI
- FAM perlu lebih proaktif susulan hukuman oleh AFC
- Langkah memperketat pengesahan status pemain dan kuatkuasa perundangan
- Pentingnya koordinasi antara jabatan untuk urusan pemain
- Pembangunan bakat tempatan dan liga domestik sebagai keutamaan
- Hukuman tersebut tidak menghalang kemungkinan pembinaan semula skuad Harimau Malaya



