Carolan sah kemudi Speedy Tigers

Carolan sah kemudi Speedy Tigers

KUALA LUMPUR: Era baharu skuad hoki lelaki negara bermula apabila Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) membuat keputusan berani menamatkan khidmat ketua jurulatih, Sarjit Singh, sekali gus membuka laluan kepada Brendon Carolan untuk mengemudi Speedy Tigers.

Keputusan itu dicapai secara sebulat suara oleh Lembaga Eksekutif MHC dalam mesyuarat Sabtu lalu, dengan badan induk berkenaan memilih untuk tidak menyambung kontrak Sarjit yang berakhir selepas kempen kelayakan Piala Dunia di Mesir, awal bulan ini.

Presiden MHC, Subahan Kamal berkata, perubahan tersebut dibuat demi menyuntik dimensi baharu dalam corak permainan dan perancangan jangka panjang pasukan kebangsaan.

“Penghargaan harus diberikan kepada Sarjit yang telah menabur bakti dan membantu Malaysia layak ke Piala Dunia. Namun, pasukan ini memerlukan pendekatan taktikal yang segar untuk terus bersaing di pentas tertinggi,” katanya.

Carolan, yang berasal dari Afrika Selatan, diberikan kontrak selama setahun dan dijangka tiba minggu depan bagi memulakan tugas secara rasmi.

Lebih menarik, beliau diberi mandat penuh untuk merombak skuad serta membentuk barisan kejurulatihan sendiri, dengan sasaran utama membawa Malaysia mara ke pentas final Sukan Asia di Nagoya.

Bukan asing dengan suasana hoki tempatan, Carolan pernah menjadi penolong jurulatih skuad lelaki negara dari 2014 hingga 2015.

Sepanjang tempoh itu, beliau memainkan peranan penting membantu Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat Sukan Asia Incheon 2014, selain menyumbang kepada kejayaan meraih emas Sukan SEA 2015.

Pengalamannya di pentas antarabangsa turut diperkuatkan menerusi peranan bersama kelab Belgium, Gantoise HC, yang muncul kuasa baharu hoki Eropah termasuk menjuarai Liga Hoki Eropah (EHL) 2025.

Dalam perkembangan sama, Subahan tetap optimis dengan kemampuan Speedy Tigers menjelang Piala Dunia di Belgium dan Belanda dari 15 hingga 30 Ogos ini.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bakal berdepan laluan sukar menentang gergasi dunia seperti Jerman, Belgium dan Perancis, namun percaya sentuhan baharu mampu mencetus kebangkitan luar jangka.

“Cabaran memang besar, tetapi ini peluang terbaik untuk menguji karakter sebenar pasukan,” ujarnya.-UTUSAN

Scroll to Top