Perang di Asia Barat: Syarikat penerbangan naikkan tambang, laluan dikurangkan

Perang di Asia Barat: Syarikat penerbangan naikkan tambang, laluan dikurangkan

WASHINGTON – Lonjakan mendadak harga bahan api jet susulan konflik di Asia Barat yang kini memasuki minggu ketiga mengakibatkan kos tambahan mencecah ratusan juta dolar, kenaikan kadar tambang serta pengurangan beberapa laluan penerbangan.

Amaran tersebut dikeluarkan syarikat penerbangan di seluruh dunia berikutan kos bahan api tersebut memberi tekanan besar kepada industri penerbangan global, dengan syarikat terpaksa menanggung tambahan perbelanjaan mencecah ratusan juta dolar.

Ini kerana, bahan api adalah perbelanjaan kedua terbesar industri penerbangan selepas tenaga kerja, lazimnya merangkumi antara 20 hingga 25 peratus daripada kos operasi.

Memetik Reuters, perkembangan tersebut turut mencetuskan gangguan lain apabila sebahagian besar ruang udara Asia Barat ditutup berikutan kebimbangan terhadap serangan peluru berpandu dan dron, menyebabkan penerbangan dibatalkan, dijadualkan semula atau dilencongkan.

Harga bahan api jet di Eropah dilaporkan meningkat dua kali ganda, manakala di Asia pula melonjak hampir 80 peratus sejak konflik tercetus pada akhir Februari.

Situasi tersebut menonjolkan kesan meluas konflik berkenaan yang melangkaui Asia Barat, sekali gus meletakkan industri penerbangan dalam tekanan terbesar sejak pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Delta Air Lines, Ed Bastian ketika persidangan industri anjuran JP Morgan berkata, lonjakan harga bahan api jet telah meningkatkan kos operasi syarikat itu sehingga AS$400 juta bersamaan dengan RM1.6 bilion bagi bulan ini.

Menurut beliau, Delta berada dalam kedudukan kukuh untuk menyerap kenaikan kos tersebut dan boleh melaraskan kapasiti operasi sekiranya harga kekal tinggi.

Namun, beliau menegaskan, syarikat penerbangan perlu berhati-hati dalam menaikkan tambang memandangkan keyakinan pengguna masih belum pulih sepenuhnya.

“Syarikat penerbangan kini memindahkan kenaikan kos itu kepada pengguna melalui peningkatan tambang,” katanya.

Sementara itu, American Airlines turut menjangkakan peningkatan kos sebanyak AS$400 juta pada suku pertama akibat kenaikan harga bahan api.

Syarikat tersebut memaklumkan hasil suku pertama dijangka meningkat lebih 10 peratus, mengatasi unjuran awal antara tujuh hingga 10 peratus, didorong oleh permintaan yang lebih kukuh.

Bagaimanapun, kerugian terlaras bagi setiap saham dijangka berada pada paras hujung bawah julat panduan terdahulu iaitu antara 10 sen hingga 50 sen.

Dalam masa sama, di Eropah, syarikat penerbangan Scandinavia, SAS AB, telah mengurangkan sebahagian kecil penerbangannya sebagai tindak balas awal terhadap peningkatan kos tersebut.

Menurut syarikat berkenaan, keseluruhan sistem penerbangan Eropah kini berdepan tekanan akibat lonjakan harga bahan api yang mendadak.

Kebanyakan syarikat penerbangan Amerika Syarikat telah menghentikan amalan lindung nilai bahan api sejak dua dekad lalu, manakala SAS tahun lalu memaklumkan ia tidak akan melaksanakan strategi tersebut bagi tempoh 12 bulan berikutnya.

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa Vietnam memberi amaran kepada industri penerbangannya supaya bersedia menghadapi kemungkinan pengurangan penerbangan mulai April ini.

Amaran itu dibuat selepas China dan Thailand menghentikan eksport bahan api jet, sekali gus meningkatkan risiko kekurangan bekalan.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula menutup sementara ruang udaranya sebagai langkah berjaga-jaga susulan ancaman peluru berpandu dan dron dari Iran.

Penutupan itu berlaku sehari selepas insiden kebakaran yang dicetuskan dron berhampiran Lapangan Terbang Dubai.

Di Jerman, Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Frankfurt, Stefan Schulte berkata, kira-kira 86,000 penumpang terjejas akibat pembatalan penerbangan sepanjang dua minggu pertama konflik.

Menurutnya, hanya satu pertiga daripada sambungan penerbangan mingguan antara Frankfurt dan Asia Barat kini masih beroperasi.

 

 

Ringkasan AI

  • Lonjakan mendadak harga bahan api jet akibat konflik di Asia Barat meningkatkan kos operasi industri penerbangan hingga ratusan juta dolar
  • Kos bahan api merupakan perbelanjaan kedua terbesar industri penerbangan setelah gaji pekerja, merangkumi 20 hingga 25% dari keseluruhan kos
  • Sebagian besar ruang udara Asia Barat ditutup menyebabkan gangguan seperti pembatalan, penjadualan semula atau pelencongan penerbangan
  • Harga bahan api jet di Eropah telah meningkat dua kali ganda manakala di Asia meningkat hampir 80% sejak konflik bermula di akhir Februari
  • Delta Air Lines mengalami kenaikan kos operasi sebanyak AS$400 juta untuk bulan ini akibat lonjakan harga bahan api jet
Scroll to Top