Siri Jelajah Sukan SEA 2027 selepas Aidilfitri

Siri Jelajah Sukan SEA 2027 selepas Aidilfitri

PENGANJURAN temasya Sukan SEA 2027 di Malaysia menjadi fokus utama Dr Mohammed Taufiq Johari sebaik diberi kepercayaan menggalas portfolio Menteri Belia dan Sukan sejak 16 Disember lalu.

Berbaki kira-kira 18 bulan sebelum penganjuran Sukan SEA kembali ke Malaysia pada 2027, Dr Mohammed Taufiq berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memiliki perancangan jitu dalam usaha memperhebat promosi temasya sukan dwitahunan itu kepada orang ramai.

Dalam temu bual bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj baru-baru ini, beliau berkata KBS akan menganjurkan Siri Jelajah Sukan SEA 2027 yang dijadualkan berlangsung selepas sambutan Aidilfitri tahun ini bagi menyemarakkan suasana dalam kalangan rakyat Malaysia sebelum temasya sukan itu dibuka secara rasmi di Sarawak pada 18 September 2027.

“Kami akan mengadakan jelajah menuju Sukan SEA 2027. Kami mahu semua rakyat bercakap mengenai Sukan SEA ini sepanjang tahun sehingga September 2027.

“Sebenarnya rakyat ialah ejen terbaik untuk menjadi jurucakap Sukan SEA ini. Kami mungkin tidak perlu membelanjakan lebih untuk pemasaran dan sebagainya jika kami mampu menjelaskan kepada rakyat di peringkat akar umbi, termasuk di kampung-kampung, mengenai Sukan SEA ini,” katanya ketika ditemui di pejabat menteri di sini.

Menerusi siri jelajah itu, Taufiq berkata beliau sememangnya mahu Sukan SEA 2027 berupaya menarik minat dan penglibatan segenap lapisan masyarakat selain menjadikan temasya itu sebagai satu festival sukan yang dinantikan orang ramai.

Beliau berkata, jelajah Sukan SEA 2027 yang bakal membuka tirai di Sarawak selepas Aidilfitri itu juga bertujuan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai langkah terbaik bagi memastikan penganjuran acara berkenaan berlangsung dengan jayanya.

Taufiq pada masa sama berkata pengumuman logo dan maskot rasmi Sukan SEA 2027, yang dipilih berdasarkan pertandingan yang dianjurkan KBS tahun lalu, akan diadakan dalam masa terdekat.

Pertandingan mencipta logo dan maskot rasmi edisi ke-34 Sukan SEA yang dibuka sejak Oktober hingga Disember lalu menawarkan hadiah wang tunai RM8,000 dan sijil kepada pemenang.

Selain Sarawak, Sukan SEA 2027 turut dianjurkan di tiga kluster lain, iaitu Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur dengan melibatkan 38 jenis sukan.

Sarawak akan menjadi kluster utama dan lokasi upacara pembukaan, dengan 17 sukan dipertandingkan iaitu akuatik, angkat berat, bola keranjang, boling, boling padang, e-sukan, gimnastik, golf, kriket, memanah, menembak, Muay Thai, petanque, skuasy, taekwondo, tenis dan wusyu.

Kluster Pulau Pinang pula melibatkan enam sukan, iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong dan floorball, manakala kluster Johor hanya melibatkan satu acara iaitu bola sepak.

Kluster Kuala Lumpur akan menjadi lokasi upacara penutup dengan 14 sukan dipertandingkan, iaitu badminton, berbasikal (Velodrom Nasional, Nilai), bola tampar, bola jaring, ekuestrian, hoki, karate, lawan pedang, luncur ais, olahraga, pencak silat, pelayaran (Langkawi), ragbi dan ski air.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA adalah pada 2017 yang menyaksikan kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Selain edisi 2017, Malaysia pernah menjadi tuan rumah pada edisi 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001. Sukan SEA 2027 dijadualkan melabuhkan tirai pada 29 September. – Bernama

Ringkasan AI

  • PENGANJURAN Sukan SEA 2027 di Malaysia menjadi fokus utama Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari
  • KBS memiliki perancangan jitu dalam memperhebat promosi Sukan SEA 2027 kepada rakyat Malaysia
  • Siri Jelajah Sukan SEA 2027 akan diadakan selepas Aidilfitri untuk membangkitkan semangat patriotik
  • Logo dan maskot rasmi Sukan SEA 2027 akan diumumkan tidak lama lagi
  • Sukan SEA 2027 akan dianjurkan di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur dengan melibatkan 38 jenis sukan
Scroll to Top