Lebuh raya utama mula perlahan malam ini

Lebuh raya utama mula perlahan malam ini

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aliran trafik dijangka berlaku kelewatan di beberapa lebuh raya utama keluar dari Lembah Klang menuju Utara, Selatan dan Timur Semenanjung malam ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan memaklumkan, keadaan trafik secara keseluruhan khususnya di Lembah Klang masih bergerak lancar tetapi perlahan di beberapa lokasi strategik setakat 8.21 malam.

“Di Lebuh Raya Utara–Selatan (LUS) arah Utara dilaporkan sesak dari Kota Damansara ke Rawang Selatan, Sungai Buaya ke Bukit Beruntung, Gua Tempurung ke Gopeng dan Juru ke Perai.

“Arah Selatan pula perlahan dari Nilai ke Bandar Ainsdale,” kata kenyataan itu, malam ini.

Menurut LLM, bagi pengguna Tambak Johor, perjalanan arah Selatan dari Johor Bahru ke Woodlands dijangka menghadapi kelewatan.

Sementara itu, katanya, di lebuh raya laluan Kedua Malaysia–Singapura trafik bergerak perlahan dari Jambatan ke Kompleks CIQ Sultan Abu Bakar.

“Di Lebuh Raya Kuala Lumpur–Karak (KLK) laluan Timur dari Gombak ke Bukit Tinggi dan Lentang ke Bentong turut mengalami kesesakan.

Dalam pada itu, LLM menasihatkan orang ramai merancang perjalanan dengan menggunakan cadangan jadual waktu perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya utama.

Katanya, lebuh raya bukan litar lumba dan setiap pemandu perlu sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan demi keselamatan.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini lebuh raya bertol seluruh negara melalui hotline 1-800-88-7752, saluran WhatsApp LLM Info Trafik, aplikasi X @Ilminfotrafik, Facebook LLM, TikTok @Ilmtrafik serta aplikasi TUJU untuk paparan CCTV lebuh raya dan aduan kerosakan melalui aplikasi MYJalan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top