Sydney: Skuad bola sepak wanita Jepun mempamerkan aksi kelas dunia apabila membelasah Korea Selatan 4-1 untuk mara ke final Piala Asia, sekali gus menghantar amaran jelas kepada tuan rumah, Australia.
Dua jaringan awal menerusi Riko Ueki dan Maika Hamano meletakkan Jepun selesa di hadapan sebelum Saki Kumagai dan Remina Chiba melengkapkan kemenangan bergaya di Sydney.
Skuad kendalian Nils Nielsen turut menyaksikan tiga lagi gol dibatalkan, namun ia tidak menjejaskan dominasi mereka sepanjang perlawanan.
Australia terlebih dahulu mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan China 2-1 hasil jaringan penyerang sensasi, Sam Kerr.
Berbanding Australia yang terpaksa bekerja keras, Jepun menikmati laluan lebih mudah apabila sudah meledak 28 gol dan hanya bolos sekali dalam lima perlawanan setakat ini.
“Saya sangat bangga dengan mereka hari ini.
“Bukan mudah untuk berdepan pasukan kuat seperti Korea Selatan dan membuatkan perlawanan kelihatan mudah, tetapi mereka berjaya melakukannya,” kata Nielsen
Jepun sepatutnya mendahului seawal minit ketujuh, namun Yui Hasegawa terlepas peluang keemasan di depan gawang terbuka.
Dominasi Jepun akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-15 apabila Ueki menyempurnakan hantaran Fuka Nagano untuk gol keenam peribadinya dalam kejohanan.
Hamano kemudian menggandakan kelebihan 10 minit kemudian dengan rembatan dari sudut sukar, sebelum dilihat menitiskan air mata kegembiraan.
Jepun terus menekan, malah dua lagi gol dibatalkan sebelum rehat.’
Separuh masa kedua menyaksikan corak permainan sama dengan Korea Selatan bergelut mencari rentak.
Kumagai menambah gol ketiga menerusi tandukan pada minit ke-75 sebelum Korea Selatan merapatkan jurang hasil jaringan Kang Chae-rim.
Namun, Chiba memastikan kemenangan mutlak Jepun dengan gol keempat tidak lama kemudian.
Kemenangan itu menyaksikan Jepun melangkah penuh bergaya ke final, dengan misi memburu gelaran dan menamatkan cabaran Australia di laman sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




