ARAU: Ribuan orang tidak melepaskan peluang mendapatkan daging tempatan dengan harga serendah RM15 sekilogram bersempena program Jualan Rahmah UMNO Arau (Juara) di pekarangan pejabat UMNO Bahagian, malam tadi.
Menerusi penganjuran program yang memasuki tahun kedua itu, sebanyak lapan ekor lembu ditumbangkan atau 2.4 tan metrik daging segar yang memberi manfaat kepada 2,400 orang dari sekitar kawasan di sini dan negeri ini.
Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, harga daging yang ditawarkan pada penganjuran kali ini juga adalah lebih murah berbanding tahun lalu, RM18 sekilogram.
Katanya, selain jualan daging, UMNO Arau turut menyembelih empat ekor lembu untuk dijadikan gulai serta diagihkan kepada penduduk setempat serta asnaf di kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan orang ramai
mula beratur panjang bagi mendapatkan daging dengan harga murah itu,” katanya ketika ditemui
pada Program Juara di pekarangan Pejabat UMNO Bahagian di sini malam tadi.
Rozabil berkata, bagi agihan gulai daging, persediaan memasak juadah berkenaan juga dilaksanakan di perkarangan pejabat UMNO Bahagian Arau yang kemudian diedarkan di bazar Ramadan dan beberapa lokasi lain yang telah memberi manfaat kepada 4,200 orang.
“Secara keseluruhan, kita menyediakan sebanyak 12 ekor lembu pada tahun ini bagi menjayakan Program Juara tersebut. Kita menawarkan daging pada harga murah memandangkan ia merupakan antara juadah penting bersempena dengan ketibaan Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Saya juga mendapat makluman bahawa terdapat ramai yang tidak berkemampuan untuk membeli daging sebagai bekalan perayaan.
“Dan ia juga menjadi antara sebab utama kita mengadakan program seperti ini yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban dalam menyambut Aidilfitri,” katanya.
Katanya, program tersebut akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dalam menaikkan lagi suasana kemeriahan menyambut Aidilfitri di samping membantu golongan memerlukan.-UTUSAN




