Dakar: Senegal menuntut siasatan antarabangsa bebas berhubung dakwaan rasuah selepas Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) melucutkan gelaran Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) yang dimenangi mereka dan menganugerahkannya kepada Maghribi.
Kontroversi tercetus susulan tindakan pemain Senegal keluar padang ketika final di Rabat pada 18 Januari lalu sebagai bantahan terhadap keputusan penalti diberikan kepada tuan rumah pada masa kecederaan separuh masa kedua.
Selepas dipujuk kapten Sadio Mane, pemain Senegal kembali ke padang, namun Maghribi gagal menyempurnakan penalti sebelum Pape Gueye menjaringkan gol kemenangan 1-0 pada masa tambahan.
Bagaimanapun, CAF membuat keputusan mengejut dengan membatalkan kemenangan itu dan mengisytiharkan Senegal tewas 0-3 atas alasan melanggar peraturan kerana meninggalkan padang.
Jurucakap kerajaan Senegal, Marie Rose Khady Fatou Faye, menyifatkan keputusan itu sebagai tidak sah dan menjejaskan kredibiliti badan induk bola sepak Afrika.
“Dengan mempertikaikan keputusan perlawanan yang sah, CAF mencemarkan kredibilitinya sendiri,” katanya.
Beliau menegaskan Senegal menolak sepenuhnya keputusan itu dan menggesa siasatan bebas dijalankan terhadap kepimpinan CAF.
CAF dalam kenyataannya memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti rayuan Maghribi, dengan Senegal dianggap kalah secara forfeit dan keputusan rasmi direkodkan 3-0.
Faye menyifatkan tindakan itu sebagai ‘tidak sah dan sangat tidak adil’.
“Senegal akan mengambil semua tindakan undang-undang sewajarnya, termasuk membawa kes ke mahkamah antarabangsa bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.
Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Senegal turut mengesahkan akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam masa terdekat.
Mereka menyifatkan keputusan CAF sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini dan mencemarkan imej bola sepak Afrika.
© New Straits Times Press (M) Bhd




