Solat sunat Aidilfitri di Perlis digalakkan di tanah lapang

Solat sunat Aidilfitri di Perlis digalakkan di tanah lapang

KANGAR: Solat Aidilfitri di seluruh negeri ini digalakkan dilaksanakan di tanah lapang (musolla) yang diselaraskan bermula pada pukul 7.45 sehingga 8.15 pagi bergantung kepada keputusan jawatankuasa kariah masing-masing.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap jawatankuasa kariah hendaklah memastikan agar hebahan berkaitan waktu solat yang dipilih dilaksanakan sebaiknya untuk penyelarasan kepada ahli kariah.

Titah baginda merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk kepada ketetapan oleh jawatankuasa kariah masjid masing-masing di seluruh negeri ini.

“Pelaksanaan ini selaras dengan sunnah baginda Rasulullah SAW. Bagaimanapun, pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang dan bilangan jemaah yang hadir,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pelaksanaan solat Aidilfitri selain musolla yang ditentukan oleh Jawatankuasa Kariah seperti surau rasmi dalam negeri ini juga hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Baginda bertitah, sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan, solat Aidilfitri akan dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada pukul 8.15 pagi dan hebahan berkaitan perubahan lokasi perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada pukul 7.45 pagi.

“Bagi pelaksanaan Solat Aidilfitri di Kariah Kota Raja Arau, solat akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau pada pukul 8 pagi dan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan, solat akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pengurusan masjid juga hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan solat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk panduan dikeluarkan oleh Jabatan Mufti negeri.

Titah baginda, jemaah dinasihatkan membawa sejadah masing-masing dan mengambil wudhu dari rumah, di samping turut menjaga kesihatan dengan memakai pelitup muka bagi mereka yang mempunyai keuzuran kesihatan.

“Sesungguhnya, besar harapan saya agar segala ketetapan yang telah digariskan ini sentiasa dijunjung tinggi serta dipatuhi dengan penuh iltizam oleh seluruh rakyat yang saya kasihi sekalian,” titah baginda.-UTUSAN

Scroll to Top