28 tahun Heyda 'kepit' lagu Zapin Usik Mengusik

28 tahun Heyda 'kepit' lagu Zapin Usik Mengusik

am@hmetro.com.my

PENYANYI Heyda Hafeey kembali mewarnai industri muzik tanah air apabila tampil berduet bersama Lan Solo menerusi lagu ikonik Zapin Usik Mengusik 2.0 yang diberi nafas baharu sekali gus mengimbau nostalgia lagu yang pernah melonjakkan namanya dulu.

Menurut Heyda atau nama sebenarnya, Noor Haida Mohd Idris,45, lagu Zapin Usik Mengusik mempunyai nilai sentimental yang besar dalam perjalanan karier nyanyiannya kerana ia antara karya yang membawa namanya ke dalam industri muzik tempatan ketika berusia 17 tahun.

“Hampir 28 tahun lagu ini bersama saya. Lagu inilah yang membawa saya masuk ke dalam industri muzik tanah air sebelum saya tampil dengan album lain.

“Jadi saya rasa ‘comeback’ yang terbaik adalah dengan mengembalikan nostalgia lagu ini,” katanya ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kata Heyda, dia berharap ia dapat memperkenalkan dirinya kepada peminat generasi baharu.

“Lagu ini seperti pengenalan semula untuk orang kenal saya.

“Selepas ini, saya juga ada beberapa projek dan single baharu yang akan menyusul kelak,” katanya.

Menurut Heyda lagi, sebelum merakamkan semula lagu itu, dia terlebih dahulu mendapatkan kebenaran dari syarikat rakaman asal dan menandatangani kontrak bagi memastikan projek itu berjalan secara profesional.

Ditanya ramai pendengar lebih mengenali lagu itu melalui kumpulan Senario berbanding dirinya, Heyda lebih suka berlapang dada kerana percaya setiap karya mempunyai perjalanan rezekinya tersendiri.

“Memang ramai yang lebih kenal Senario sebagai penyanyi lagu Zapin Usik Mengusik berbanding saya sebagai penyanyi wanita menerusi lagu duet itu.

“Tapi bagi saya itu bukan masalah. Lagu yang baik akan terus hidup dan saya hanya mahu menghidupkan semula lagu ini dengan nafas baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Heyda turut menjelaskan penggunaan nama pentas baharu Heyda Hafeey hanyalah perubahan kecil dari segi ejaan bagi membezakan dirinya dalam industri yang mempunyai ramai penyanyi dengan nama hampir sama.

Bagi memberi kelainan, Zapin Usik Mengusik 2.0 kini disuntik dengan elemen muzik moden tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Kehadiran Lan Solo sebagai rakan duet Heyda juga memberi dimensi baharu kepada karya berkenaan.

Menurut Lan, pada mulanya dia berasa agak ragu-ragu untuk menerima tawaran untuk berduet dengan Heyda kerana merasakan lagu itu sudah cukup kuat dan sinonim dengan kumpulan Senario.

“Saya juga cadangkan padanya untuk mencari penyanyi lain untuk berduet dengannya.

“Tapi, dia beritahu tetap mahu berduet dengan saya juga dan akhirnya saya bagi sokongan penuh padanya.

“Saya turut menyediakan rakaman ‘guide vocal’ terlebih dahulu bagi memastikan keserasian sebelum projek itu diteruskan,” katanya.

Sebelum ini, Heyda juga pernah aktif di Indonesia sekitar 2013 hingga 2016 berpengalaman menghasilkan lagu berkonsepkan dangdut moden di Jakarta sehingga berjaya mendapat siaran di beberapa stesen radio dan televisyen di negara berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top