Trump berdepan kebuntuan dalam perang Iran

Trump berdepan kebuntuan dalam perang Iran

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kini berdepan kebuntuan hanya beberapa minggu selepas konflik dengan Iran tercetus, susulan kegagalan mentakrifkan objektif jelas serta strategi keluar, selain tidak berjaya meyakinkan rakyat Amerika mengenai keperluan perang tersebut.

Keadaan itu turut diperburuk apabila seorang pegawai kanan antikeganasan Amerika Syarikat meletakkan jawatan secara terbuka pada Selasa, dengan menyatakan republik Islam itu tidak menimbulkan ‘ancaman segera’ kepada negaranya serta beliau tidak dapat menyokong perang berkenaan atas dasar prinsip.

Trump sebelum ini berulang kali mendakwa Iran telah ‘dilumpuhkan’ melalui serangan Amerika Syarikat dan Israel, sekali gus memberi gambaran beliau berada pada kedudukan untuk mengisytiharkan kemenangan.

Namun, pemimpin Parti Republikan itu tidak berbuat demikian, memandangkan penamatan perang memerlukan persetujuan kedua-dua pihak melainkan salah satu pihak menyerah kalah.

Walaupun keupayaan ketenteraan dan politik Iran terjejas teruk akibat serangan udara sejak 28 Februari, Teheran tidak menunjukkan sebarang tanda untuk tunduk.

Media Amerika Syarikat melaporkan Trump juga gagal menjangkakan sepenuhnya keupayaan Iran untuk melancarkan serangan balas berskala luas, walaupun mendakwa telah memusnahkan tentera laut, peluru berpandu balistik serta kepimpinan negara itu.

Memasuki minggu ketiga konflik, harga minyak dunia melonjak ketika keganasan merebak di seluruh Asia Barat, dari Lubnan hingga ke Teluk, termasuk serangan terhadap Kedutaan Amerika Syarikat di Iraq.

Situasi itu menyaksikan Trump menerima tekanan susulan keputusannya menyokong Israel tanpa mandat jelas, selain tidak berunding dengan Kongres atau sekutu antarabangsa lain.

Sekutu Eropah dan rakan antarabangsa turut menolak secara berhati-hati permintaan bantuan Washington di Selat Hormuz, laluan sempit strategik yang kini hampir disekat oleh Iran.

Bagaimanapun, Trump kemudian mengubah pendirian dengan menyatakan bantuan tersebut tidak lagi diperlukan.

Dalam pengakuan jarang dibuat, Trump turut menyatakan beliau terkejut dengan tindakan balas Iran yang menyasarkan negara Teluk seperti Arab Saudi dan Qatar, walaupun amaran telah diberikan berulang kali oleh Teheran.

Kebuntuan diplomatik semakin meruncing

Presiden emeritus Majlis Hubungan Luar, Richard Haass berkata, walaupun Amerika Syarikat memulakan konflik ini secara bersendirian, penamatannya tetap memerlukan persetujuan Iran dan Israel.

Menurut beliau, semakin lama perang berlarutan, semakin besar kos yang perlu ditanggung berbanding manfaat yang diperoleh.

Bagi Amerika Syarikat, kemenangan bukan sahaja bermaksud melemahkan Iran dalam jangka panjang, tetapi juga memulihkan laluan perdagangan di Selat Hormuz bagi menstabilkan bekalan minyak global serta menghentikan serangan Teheran ke atas negara jiran.

Namun, ramai penganalisis berpendapat matlamat itu sukar dicapai melalui pendekatan ketenteraan semata-mata.

Laluan diplomasi kini semakin sempit, namun masih menjadi pilihan bergantung kepada kesediaan Iran untuk berunding.

Felo kanan Pusat Dasar Antarabangsa, Sina Toossi berkata, ketika ini tiada pilihan terbaik, sebaliknya hanya pilihan yang ‘kurang buruk’.

Beliau menyifatkan pendekatan paling realistik adalah melalui rundingan bagi meredakan ketegangan, yang membolehkan semua pihak mempertahankan maruah masing-masing.

“Amerika Syarikat boleh mendakwa telah melemahkan keupayaan Iran, manakala Iran pula boleh menunjukkan ia mampu bertahan dan melancarkan serangan balas,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kestabilan Teluk Parsi memerlukan tahap penyesuaian tertentu dengan Iran. – AFP

Ringkasan AI

  • Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berdepan kebuntuan dalam konflik dengan Iran, gagal menetapkan objektif dan strategi keluar yang jelas
  • Seorang pegawai kanan antikeganasan Amerika letak jawatan, menyatakan Iran tidak menimbulkan ancaman segera
  • Iran tidak menunjukkan tanda untuk tunduk walaupun kemampuan militarnya terjejas akibat serangan udara
  • Trump mendapat tekanan akibat keputusan menyokong Israel tanpa mandat jelas dan gagal berunding dengan Kongres atau sekutu antarabangsa
  • Kebuntuan diplomatik meningkat, memerlukan persetujuan Iran dan Israel untuk penamatannya, dengan diplomasi menjadi pilihan yang bergantung pada kesediaan Iran untuk berunding
Scroll to Top