Kehilangan Pak Tam masih misteri

Kehilangan Pak Tam masih misteri

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: “Aidilfitri yang disambut meriah sebelum ini di kampung terasa berbeza pada tahun ini apabila Pak Tam yang sering menceriakan suasana tiada di sisi,” kata Nur Syafini Zainal Abidin, 31.

Nur Syafini adalah anak saudara kepada Pak Tam atau nama penuhnya Mohd Syahir Sayuti Ahmad, 45, yang dilaporkan hilang di Makkah sejak 17 Februari lalu ketika menunaikan umrah bersama empat ahli keluarganya.

Nur Syafini berkata, sehingga kini kehilangan Pak Tam masih meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mereka.

Katanya, sambutan hari raya di kampung nenek di Setiawan, Perak pada tahun ini disambut secara sederhana susulan ketiadaan Pak Tam yang menjadi antara individu paling ceria dalam keluarga.

“Dulu setiap kali raya, Pak Tam memang akan beli bunga api dan mercun, kemudian dia akan melayan kami semua bermain sampai lewat malam.

“Tahun ini, abang saya pula mengambil peranan itu, cuba menceriakan suasana walaupun kami semua tahu ia tidak akan sama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, neneknya adalah individu paling terkesan kerana Pak Tam tinggal bersamanya dan menjadi tempat bergantung sejak sekian lama.

“Opah (nenek) memang nampak sangat berubah, dia banyak diam dan tidak seperti dulu. Sebelum ini Pak Tam yang selalu menemani Opah di rumah, jadi kehilangan itu sangat dirasai.

“Sebagai seorang ibu sudah pasti Opah mengharapkan anaknya pulang ke pangkuan keluarga.

“Bagi menghilangkan rasa sunyi Opah, ibu dan bapa saya bersama adik beradik ibu yang lain sudah pulang ke kampung lebih awal sementara saya dan suami akan menyusul kemudian,” katanya.

Ditanya perkembangan terkini bapa saudaranya itu, Nur Syafini berkata, sehingga kini kehilangan Pak Tam masih menjadi misteri.

“Kami sudah menghubungi pelbagai pihak, namun masih belum menerima sebarang maklum balas yang jelas.

“Sebelum ini, kami diminta menunggu kerana pihak di sana sedang mendapatkan rakaman CCTV, tetapi sehingga kini masih belum ada perkembangan,” katanya.

Bukan itu sahaja, mereka sekeluarga turut mengambil inisiatif sendiri termasuk salah seorang bapa saudaranya ke Makkah untuk mengesan keberadaan Pak Tam sambil menunaikan umrah, namun menemui jalan buntu.

“Pencarian menjadi lebih mencabar berikutan jumlah jemaah yang ramai terutama dalam bulan Ramadan, selain kekangan komunikasi dan maklumat di lokasi.

“Kami turut mengambil inisiatif sendiri mendapatkan khidmat perawat Islam untuk mengesan Pak Tam,” katanya.

Menurutnya, naluri ahli keluarga masih kuat menyatakan Pak Tam masih lagi hidup, cuma keberadaannya masih belum diketahui.

“Bagi pihak keluarga, kami masih berharap Pak Tam masih hidup kerana berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan di hospital, tiada sebarang rekod kematian Pak Tam.

“Bagaimanapun, sekiranya Pak Tam sudah meninggal dunia di Makkah, kami reda, tetapi biarlah statusnya diketahui,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Pak Tam hilang ketika menunaikan umrah bersama empat lagi ahli keluarganya.

Kehilangan Pak Tam disedari selepas rombongan keluarganya berhenti menunaikan tawaf sunat untuk bersedia menunaikan solat Isyak di kawasan Sutuh (rooftop) Masjidil Haram.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top