Aznil Nawawi Sedekah RM3,000 Bantu Pendengar Kool FM, Ramai Menangis Dengar Perkongsian Wanita Buntu Cari Duit Menjelang Syawal

Aznil Nawawi Sedekah RM3,000 Bantu Pendengar Kool FM, Ramai Menangis Dengar Perkongsian Wanita Buntu Cari Duit Menjelang Syawal

Pengacara dan penyampai radio terkenal, Datuk Aznil Nawawi sememangnya dikenali dengan sifat pemurah serta gemar berkongsi rezeki dengan orang sekeliling.

Terbaharu, menerusi satu video yang dikongsikan di Instagram (IG) Kool FM, Aznil, 64, sekali lagi mencuri perhatian apabila menghadiahkan wang tunai berjumlah RM3,000 kepada seorang pemanggil dikenali sebagai Amira.

Dalam rakaman tersebut, Amira berkongsi dia dan suami sedang berusaha keras mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan menjelang Aidilfitri, namun masih belum mencukupi.

“Suami kerja beberapa tahun tapi tak pernah dapat bonus. Kami pula baru berpindah, saya ikut suami supaya dia dapat dekat dengan ibu bapanya.

“Lagi beberapa hari nak raya, saya dengan suami hanya mampu saling berpandangan.

“Kami bukan susah sangat, tapi kami ada keinginan nak memberi, nak bersedekah. Bila adik-beradik lain salam mak ayah, mesti ada hulur sampul duit.

“Saya tahu suami nak memberi sebab dia seorang yang bertanggungjawab,” luahnya.

Tersentuh dengan perkongsian tersebut, Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil tanpa berfikir panjang menyatakan hasrat untuk membantu.

“Amira, kalau Pak Nil nak kirim duit raya untuk ibu bapa, anak-anak dan anak saudara awak, boleh?

“Kalau awak tolak, maknanya awak tolak hajat Pak Nil.

“Pak Nil dah kirim RM3,000 untuk awak. Saya nak raya awak tahun ini jadi raya yang gembira, ya,” katanya.

Amira yang jelas sebak tidak henti-henti meluahkan rasa syukur, malah mengakui tidak menyangka doanya dimakbulkan dalam keadaan yang tidak diduga.

“Saya nak cari RM30 pun susah sekarang. Malam tadi saya berdoa, ‘Ya Allah, pinjamkanlah sedikit daripada kekayaan-Mu kepada kami.

“Gembirakanlah hati kami Ya Allah. Kami dah habis usaha…’

“Saya tak sangka rezeki datang melalui Pak Nil. Tak pernah terfikir,” katanya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut tersentuh dan meluahkan rasa simpati terhadap nasib Amira.

Malah, ramai yang memuji keikhlasan Aznil dalam membantu, selain mendoakan agar rezekinya terus dilimpahkan.

Scroll to Top