Menjelang sambutan Aidilfitri yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan, pelakon Erysha Emyra diuji apabila kediaman keluarganya dipecah masuk hingga menyebabkan kehilangan barangan berharga dan duit raya.
Erysha, 27, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia keluar berbuka puasa sebelum menerima panggilan cemas daripada adik-beradiknya pada rabu, malam.
“Saya tiada di rumah, saya keluar berbuka puasa. Tiba-tiba adik-beradik telefon dalam keadaan menangis, mereka ada di rumah masa itu.
“Bila tengok, barang-barang ada yang hilang termasuk barang kemas dan duit. Ibu bapa saya dah keluarkan duit nak bagi duit raya, kami simpan dalam laci berkunci, tapi tetap dikopak guna pisau. Semua hilang,” katanya.
Menurutnya, laporan polis sudah dibuat dan kini kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Dah buat laporan polis, sekarang masih dalam siasatan,” katanya.
Erysha berkongsi perkara itu menerusi temu bual telefon bersama sebuah stesen radio hiburan, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Erysha mengakui kejadian itu memberi kesan emosi kepada dirinya dan keluarga, apatah lagi berlaku ketika suasana menjelang hari raya.
“Saya okay, cuma sedih sikit. Apa pun syukur semuanya selamat. Selepas kejadian itu kami sedikit trauma. Ini jadi peringatan untuk lebih berjaga-jaga.
“Dah lebih 20 tahun duduk di rumah itu, tak pernah jadi apa-apa. Jadi bila berlaku, memang terkejut,” katanya.
Sumber:Era.je




