norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah, 67, yang selamat menjalani pembedahan kecil bagi merawat hernia atau angin pasang mengambil keputusan berehat selama dua minggu atas nasihat doktor.
Menurut Jamal, dia bersyukur pembedahan dijalani di sebuah pusat perubatan, hari ini berjalan lancar dan kini dinasihatkan pakar perubatan untuk berehat.
“Alhamdulillah, saya sudah pun menjalani pembedahan baru sebentar tadi yang dilakukan oleh doktor pakar dan semuanya berjalan dengan lancar.
“Saya dinasihatkan untuk berehat. Jangan menyanyi selama dua minggu,” katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman mesej di WhatsApp, petang tadi.
Jamal memberitahu, dia dikesan menghidap penyakit hernia pada awal Ramadan lalu ketika menjayakan majlis iftar yang membuatkannya tidak berkesempatan makan.
“Saya asyik minum air saja dan makan kuih sebiji. Jadi, saya teruskan dengan persembahan menyanyi lagu yang banyak dan bernada tinggi. Maka, angin itu telah berkumpul dan menjadi sakit.
“Banyak sangat angin, jadi itu adalah antara sebabnya (hidap hernia). Bagaimanapun, hari ini sudah selesai pembedahan.
“Saya tunggu kebenaran daripada doktor untuk sama ada tinggal di sini juga (hospital) atau pun balik ke rumah untuk berehat,” katanya.
Kata penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir serta Ghazal Untuk Rabiah, dia sebelum ini ada majlis di Kulim, Kedah bersama rakan kongsi perniagaan menyediakan dewan perkahwinan, restoran dan juga bufet Ramadan.
“Jadi, saya memang sibuk dengan aktiviti mempromosi tempat perniagaan itu. Alhamdulillah, sudah masuk hari keenam saya buat.
“Cuma, pada hari ini tempat itu tutup dan saya ambil kesempatan untuk menjalani pembedahan rawatan hernia ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan saya harap akan terus sihat,” katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Jamal bakal menjalani pembedahan kecil untuk merawat masalah hernia di sebuah pusat perubatan yang tidak didedahkan lokasinya, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




