Remaja pecah gegendang telinga, patah hidung akibat mercun bola

Remaja pecah gegendang telinga, patah hidung akibat mercun bola

Seremban: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengalami kecederaan parah termasuk pecah kedua-dua gegendang telinga dan patah hidung akibat bermain mercun di Bandar Springhill, Lukut, Port Dickson pada 12 Mac lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, mangsa turut mengalami kecederaan pada jari, tapak tangan serta luka kecil pada bahagian muka.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson hari ini menerima laporan kejadian itu pada 6.17 petang tadi, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 12 Mac kira-kira 11 malam.

“Mangsa bersama rakan-rakannya dipercayai menggunakan kira-kira 20 biji mercun bola dan mengubah suai bahan itu dengan menaburkan belerang ke dalam lubang tiang sebelum memasukkan satu mercun bola bagi menghasilkan letupan yang lebih kuat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, semasa mangsa cuba menyalakan pemetik api, berlaku letupan kuat sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah.

Alzafny berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah hospital swasta sebelum dipindahkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dimasukkan ke wad bermula 13 Mac 2026 sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Kes masih dalam siasatan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini. Polis sedang mengesan saksi-saksi yang terlibat untuk merakam percakapan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top