mohamadridzuan@hmetro.com.my
LUMRAH setiap kali pulang ke kampung berkumpul dengan kaum keluarga, persoalan mengenai jodoh pasti akan ditanyakan kepada mereka yang masih solo.
Hakikat ini diakui oleh pelakon cantik Erysha Emyra, 26, yang tidak dapat mengelak dengan soalan sedemikian.
Erysha atau nama sebenar, Nur Erysha Emyra Zakaria berkata, perkara ini sudah menjadi kebiasaan buatnya.
“Mungkin sedikit ada pertanyaan ini. Tapi sebenarnya ia soalan pertama yang ditanyakan oleh saudara yang lebih dewasa. Soalan ini dicetuskan sekadar untuk memulakan perbualan.
“Sebab kadang macam kita dah lama tak jumpa dan jumpa kali terakhir masa saya masih kecil lagi dan sebagainya. Contohnya,” oh, dah besar dah. Bila nak kahwin?”
“Saya tak terasa hati sangat pun. Saya tahu garis masa saya sendiri. Saya tahu macam mana nak susun semua benda kan. Jadi Insya-Allah okay saja kut,” katanya.
Anak dramatis terkenal Datin Seri Noniswara Baharudin ini, bagaimanapun enggan berkongsi garis masa peribadinya dengan orang lain.
Menurutnya, dia juga tidak berdepan isu ibu bapanya menekan atau menetapkan masa untuk berkahwin pada umur tertentu.
“Bapa saya pun okay. Dia tak adalah paksa dan macam okay saja sebab saya rasa saya anak manja kut. Macam anak perempuan seorang, yang lama.
“Baru-baru ini sahaja saya baru mendapat adik-adik perempuan yang baharu. Jadi dia macam okay saja selagi saya belum bersedia untuk arah itu,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan Aidilfitri, pelakon Aku Bukan Ustazah ini berkata, kebiasaannya dia akan pulang ke kampung di Kelantan.
“Selalunya keluarga saya akan balik Kelantan sama-sama dan beraya kat sanalah dalam beberapa hari dan kemudian baru balik Kuala Lumpur. Ia adalah kampung sebelah emak.
“Sebelah ibu tiri pun Kelantan. Jadi macam dulu saya selalunya balik kampung emak tapi sekarang saya selalunya balik kampung emak tiri. Alhamdulillah hubungan saya dengan emak tiri sangat baik.
“Kami baiklah, agak memuaskan. Saya berpendapat hubungan kami saling menghormati. Macam saya rasa kerana situasi ini dah agak lama. Ayah dan mak saya pun macam berpisah sejak saya kecil lagi,” katanya.
Tambah Erysha, situasi yang dilalui ini sudah lama dan biasa ditempuhinya dan dia bersyukur menempuh situasi berkenaan.
Ditanya menu kegemarannya setiap kali Hari Raya, Erysha berkata, dia menggemari ketupat, nasi dagang serta mee celup.
“Kalau balik Kelantan itu saya suka mi celup dan ayam percik. Mi celup Kelantan sedap. Terutama hasil air tangan orang Kelantan yang ada darah campuran Siam.
“Mereka biasanya akan sediakan mi celup. Dulu masa kecil-kecil saya sukalah naik kereta lama-lama balik kampung. Sekarang sesak sampai 26 jam semua.
“Saya rasa macam tak apalah, sakit belakang. Dah tua kot. Saya pernah terperangkap kesesakan 18 jam, 20 jam itu macam biasalah,” katanya.
Untuk mengelakkan kejadian berulang, dia akan pulang lambat dan membiarkan keluarganya pulang terlebih dahulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




