TEHERAN – Komplot jahat Amerika Syarikat (AS) bersama Israel yang menyasarkan kepimpinan tertinggi Iran semakin tidak terkawal selepas tiga pegawai kanan dibunuh dalam tempoh 48 jam.
Dalam kejadian serangan terbaharu, Teheran kehilangan tokoh ketiga paling penting iaitu Menteri Risikan, Esmail Khatib sehari selepas Ketua Majlis Keselamatan Negara Tertinggi (SNSC) Iran, Ali Larijani disahkan terkorban.
Pengumuman berita sedih itu dibuat Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) selepas Washington dan Tel Aviv terus memperhebatkan kempen membunuh pemimpin kanan Teheran setelah peperangan itu berlarutan selama lebih dua minggu.
Pejabatnya dalam satu kenyataan pada Selasa turut mengesahkan Larijani gugur syahid bersama anak lelakinya, Mortaza dan timbalan keselamatan beliau, Alireza Bayat.

Ali Larijani
Sehingga ke saat akhir hayatnya, beliau berjuang mempertahankan kepentingan negara dan mengulangi gesaan supaya kekal bersatu menghadapi ancaman luar.
“Pemergiannya akan menguatkan azam barisan pemimpin dan rakyat untuk terus menegakkan martabat Teheran,” menurut SNSC dalam satu kenyataan.
Sepah yang merupakan sayap media IRGC menyifatkan beliau sebagai ‘salah seorang ahli politik paling terkenal dan berkemahiran tinggi di Iran’.
Bekas Speaker Parlimen itu merupakan penasihat kanan kepada bekas Pemimpin Agung, Ali Khamenei yang turut gugur syahid dalam gelombang pertama serangan musuh pada 28 Februari lalu.

Esmail Khatib
Ahli politik kedua paling berkuasa
Media Barat menggelar Larijani ahli politik kedua paling berkuasa selepas Ali Khamenei dan merupakan pemimpin de facto Teheran sebelum pelantikan Pemimpin Agung baharu, Mojtaba Khamenei.
Larijani juga pernah menganggotai Majlis Penentu dan memegang jawatan Speaker Majlis Perundingan Islam (Majlis) selama 12 tahun sebelum digantikan oleh Mohammad-Baqer Qalibaf.
Sepanjang kerjaya politiknya, beliau juga pernah mencalonkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Presiden dan berkhidmat sebagai Ketua Penyiaran Iran (IRIB).

Rakyat Iran mengadakan protes mengecam kempen pencerobohan AS-Israel yang kini memasuki minggu ketiga. Foto Agensi
Pada Rabu, ratusan ribu berhimpun di Teheran untuk memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin kanan termasuk Ali Larijani dan 84 anggota kelasi kapal IRIS Dena yang menjadi mangsa pembunuhan kejam AS bersama Israel.
Ia merupakan perhimpunan awam terbesar sejak Ali Khamenei dilaporkan terkorban di tangan musuh pada awal bulan lalu.
Kumpulan itu turut membawa potret ‘wira-wira’ yang gugur syahid sambil melaungkan slogan menuntut bela atas kematian mereka.
Iran mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan itu yang disifatkan sebagai perbuatan pengecut dan berikrar untuk melancarkan serangan balas lebih agresif terhadap musuh. – Agensi
Info:
Tokoh utama Iran yang terkorban sejak perang ganas bermula pada 28 Februari lalu:
>Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
>Penasihat rapat Ali Khamenei dan tokoh penting dasar keselamatan serta nuklear Iran, Ali Shamkhani.
>Komander IRGC, Mohammad Pakpour.
>Menteri Pertahanan, Aziz Nasirzadeh
>Ketua Turus Tentera, Abdolrahim Mousavi
>Komander Pasukan Separa Tentera (Basij), Gholamreza Soleimani
Ringkasan AI
- Komplot jahat Amerika Syarikat dan Israel menyasarkan kepimpinan tertinggi Iran menyebabkan tiga pegawai kanan dibunuh dalam 48 jam
- Menteri Risikan Iran, Esmail Khatib terbunuh sehari selepas Ketua Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Ali Larijani
- Ali Larijani, yang juga bekas penasihat kepada Pemimpin Agung Ali Khamenei, disahkan terkorban bersama anaknya dan timbalan keselamatan
- Larijani digambarkan sebagai ahli politik kedua paling berkuasa di Iran setelah Ali Khamenei
- Ratusan ribu berhimpun di Teheran untuk penghormatan terakhir kepada pemimpin terkorban, mengecam pembunuhan tersebut dan berjanji balas dendam



