lokman.khairi@hmetro.com.my
Ipoh: Bermula menjual produk kesihatan dari rumah, siapa sangka usaha kecil itu kini berkembang menjadi sebuah perniagaan yang semakin dikenali hingga menembusi pasaran luar negara.
Itulah kisah inspirasi usahawan tempatan, Muhammad Faris Harun, 38, yang kini mengusahakan kedai menjual makanan tambahan di Ampang, Gunung Rapat sejak 2018.
Menurut bapa dua anak itu, sebelum bergelar usahawan sepenuh masa, dia pernah bekerja sebagai auditor serta pengurus di sebuah syarikat produk kesihatan, pengalaman yang banyak membentuk asas pengetahuannya dalam bidang perniagaan.
“Ketika bekerja sebagai pengurus di syarikat kesihatan, saya belajar banyak perkara termasuk operasi perniagaan dan pemasaran.
“Dari situ timbul keinginan untuk memiliki perniagaan sendiri,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, minat terhadap perniagaan mula bercambah sekitar 2013 apabila melihat perkembangan jualan dalam talian yang ketika itu masih di peringkat awal.
“Saya keluar dari zon selesa dan sertai syarikat kecil yang fokus kepada perniagaan online. Di situ saya buat pelbagai kerja dan belajar banyak perkara.
“Pada masa sama, saya mula berniaga secara sambilan dengan menjual produk makanan tambahan secara dalam talian di platform e-dagang sebelum nekad berhenti kerja pada 2017 untuk fokus sepenuh masa.
“Pada awalnya saya buat seorang diri, fokus jualan online, apabila stok semakin banyak dan rumah sudah tidak cukup ruang, saya ambil keputusan buka kedai pada 2018,” katanya.
Muhammad Faris berkata, perjalanan sebagai usahawan tidak terlepas daripada cabaran termasuk turun naik jualan serta kekangan kewangan terutama pada peringkat awal.
“Ada masa perniagaan naik dan ada masa sukar. Bila berdepan cabaran, saya akan cari ilmu dan rujuk mereka yang lebih pakar untuk terus bertahan,” katanya.
Dalam usaha mengembangkan perniagaan, Muhammad Faris berkata, dia aktif menghadiri pelbagai kursus keusahawanan walaupun kosnya agak tinggi.
Namun, katanya, titik perubahan berlaku apabila beliau mula mendapat sokongan daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
“Sebelum ini saya kurang tahu saluran bantuan kerajaan atau peluang pembiayaan.
“Bila jumpa STeP, semuanya jadi lebih mudah kerana ia bertindak sebagai pusat rujukan sehenti untuk usahawan.
“Mereka bantu dari segi maklumat, jaringan dan peluang pasaran,” katanya.
Menurutnya, antara peluang terbesar diperoleh menerusi STeP adalah membawa produknya ke pasaran Brunei tahun lalu menerusi Consumer Fair & Trade Expo 2025 Brunei Darussalam berlangsung dari 25 hingga 29 Jun 2025.
“Penyertaan ke pameran antarabangsa ini membolehkan saya berjumpa sendiri dengan pengedar dan memahami keperluan pasaran serta mengukuhkan hubungan perniagaan.
“Inisiatif sebegini membuktikan komitmen STeP sebagai agensi peneraju segmen 1 Keluarga 1 Usahawan, salah satu inisiatif dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya.
Kini, Muhammad Faris memiliki dua jenama sendiri iaitu Berro Labs dan Nutritional Performance Labs (NPL), selain menjual pelbagai produk kesihatan lain di premisnya.
Beliau juga mempunyai lima pekerja dan masih aktif menjalankan jualan secara dalam talian melalui platform seperti TikTok, Shopee dan Lazada.
Mengulas perancangan masa depan, Muhammad Faris berhasrat memperluaskan lagi pasaran ke luar negara serta memperkukuh jenama sendiri dalam industri produk kesihatan.
“Insya-Allah, saya mahu kembangkan perniagaan ke lebih banyak negara dan dalam masa sama terus belajar untuk tingkatkan kualiti produk.
“Saya juga harap lebih ramai usahawan tampil memanfaatkan bantuan seperti STeP kerana banyak peluang sebenarnya disediakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




